EKONOMI > BERITA

PEMBUKAAN PEJABAT TENCENT DI KL PERKUKUH KEDUDUKAN NEGARA SEBAGAI HAB TEKNOLOGI SERANTAU

01/12/2025 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Pembukaan pejabat baharu syarikat konglomerat teknologi China, Tencent Holdings Ltd di Malaysia memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi serantau yang sedang pesat membangun, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata hal itu juga membuktikan pelaburan digital jangka masa panjang yang lebih kukuh.

Ini susulan perasmian pejabat baharu Tencent di Menara 1 Sentrum di sini hari ini, sekali gus mewujudkan hab serantau yang menempatkan 500 kakitangan.

Beliau berkata Tencent telah beroperasi di Malaysia selama sedekad dan menjadi rakan kongsi yang rapat serta dipercayai dalam usaha pertumbuhan negara.

“Bagi Malaysia, langkah Tencent ini lebih daripada sekadar pembukaan pejabat kerana usaha tersebut membawa pelaburan, penciptaan pekerjaan dan pembangunan kemahiran manakala bagi Tencent, syarikat itu  menyediakan akses kepada bakat, inovasi dan pasaran serantau.

“Bersama-sama, kita sedang memajukan visi bersama dalam kepimpinan digital yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu itu.

Gobind berkata Malaysia juga akan berperanan sebagai satu daripada hab antarabangsa utama Tencent untuk teknologi global, inovasi digital dan pengalaman pelanggan.

“Ini juga membawa peluang untuk bakat muda Malaysia, kerana saya difahamkan mereka mempunyai senarai panjang kekosongan jawatan dan telah bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan bagi menyediakan akses kepada lepasan pengajian tinggi tempatan,” katanya.

Beliau berkata platform syarikat itu, selain perkhidmatan kandungan dan permainan, turut merangkumi saling boleh kendali pembayaran digital, telah berperanan penting dalam menyokong pelancongan, industri kreatif dan perdagangan digital.

“Ini adalah sumbangan yang bernilai namun yang lebih penting Tencent mencerminkan nilai lebih besar apabila penggiat digital utama komited terhadap Malaysia dalam jangka masa panjang,” katanya.

Gobind juga mengalu-alukan peranan Tencent sebagai rakan kongsi untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka membantu menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.

“Dalam e-sukan, Tencent menyokong pameran budaya Malaysia pada majlis penutup Sukan SEA tahun ini, dan turut menyasar (untuk menyokong) usaha negara kita sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Tencent juga merancang untuk bekerjasama dengan kita dan berkongsi kepakarannya dalam permainan video yang positif serta pembangunan e-sukan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia meraih manfaat apabila penggiat digital dengan visi jangka masa panjang memuat pelaburan, dan Tencent adalah contoh utama.

“Perkara ini menunjukkan keyakinan pelabur, melambangkan kekuatan landskap dasar digital Malaysia dan yang paling penting sejajar dengan keutamaan negara untuk membangunkan dan menjadi negara berasaskan kecerdasan buatan menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan