EKONOMI > BERITA

HLISB PERKENAL HALA TUJU BAHARU YANG DINAUNGI ASAS KEKAYAAN ISLAM

01/12/2025 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Sempena ulang tahun ke-20, Hong Leong Islamic Bank Bhd (HLISB) telah memperkenalkan hala tuju baharu dalam kerangka strategiknya untuk memperhalusi semula perbankan Islam melalui pengurusan kekayaan.

Hala tuju baharu ini menandakan peralihan berani ke arah pendekatan yang lebih moden, boleh diakses, dan berpandangan ke hadapan tetapi masih berakar umbi dalam nilai Syariah.

Bernaung di bawah visi yang diperbaharui iaitu "Timeless Principles Guiding Tomorrow's Wealth”, hala tuju baharu ini menggariskan komitmen HLISB untuk berkembang bersama-sama dengan aspirasi Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dafinah Ahmed Hilmi melalui satu kenyataan hari ini berkata fokus pada pengurusan kekayaan melangkaui segmen perniagaan tunggal.

"Bank secara asasnya sedang mengalihkan perspektifnya dengan melihat seluruh suite produk melalui lensa kekayaan yang semakin meningkat, dengan pengawasan kekayaan diintegrasikan ke dalam setiap langkah perjalanan pelanggan.

"Jadi, kami kini mendefinisikan produk kami melalui lima tiang pengurusan kekayaan Islam, yang merangkumi lima peringkat iaitu penciptaan kekayaan, pengumpulan kekayaan, pemeliharaan kekayaan, penyucian kekayaan serta pengagihan kekayaan," katanya semasa Perayaan Ulang Tahun Ke-20 Hong Leong Bank Bhd di sini hari ini.

Dafinah menambah bahawa bank itu merancang untuk melancarkan beberapa penyelesaian pengurusan kekayaan yang baharu dan dipertingkatkan menjelang tahun depan di bawah prinsip panduan "Kekayaan Abadi untuk Esok", dengan pelancaran akan dibuat sebelum Hari Raya, memperkukuhkan keupayaan HLISB bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berkembang. 

HLISB turut melancarkan HLB@CAMPUS untuk mempromosikan pembangunan belia serta literasi kewangan dengan merapatkan jurang antara pendidikan dan pelaksanaan keputusan kewangan dunia. 

Program ini telah dilancarkan dengan tiga universiti iaitu Universiti College MAIWP International (UCMI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Serentak dengan itu, HLISB telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UCMI bagi memperluaskan inisiatif waqaf.

"Berfokus pada keperluan penjagaan kesihatan, perkongsian dengan UCMI ini bertujuan untuk memudahkan sumbangan pelanggan ke arah peralatan perubatan dan penjagaan pesakit, menjadikan kejayaan peribadi berimpak sosial dengan memperakui bahawa kesihatan masyarakat merupakan bentuk kekayaan yang amat penting," katanya lagi.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan