EKONOMI > BERITA

MALAYSIA SASAR CAPAI 35 PERATUS TENAGA KERJA MAHIR - TENGKU ZAFRUL

01/12/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir dan pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.6 peratus menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh daya saing negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sasaran itu dapat dicapai melalui lima strategi utama termasuk memperkasakan latihan berasaskan industri dan meningkatkan automasi. 

“Bagi mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir dan produktiviti 3.6 peratus setahun ini, kerajaan perlu melaksanakan lima strategi.

“Kita perlu memperkasakan latihan berasaskan industri supaya pengalaman itu relevan. Industri juga perlu melabur dalam pelatih tempatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata Malaysia perlu meningkatkan produktiviti dengan memastikan lebih banyak syarikat beralih kepada automasi, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tidak mahir dan melatih pekerja tempatan untuk memenuhi keperluan teknologi industri.

Beliau turut menegaskan kerjasama rapat antara industri, MPC, TalentCorp dan institusi TVET penting bagi melahirkan bakat tempatan yang relevan dengan keperluan semasa, selain memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian bekalan global.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan