EKONOMI > BERITA

TUBUHKAN PASUKAN PETUGAS RANGKA KERJA KREDIT KARBON BERASASKAN KELAPA SAWIT - FELDA

05/12/2025 07:32 PM

GENTING HIGHLANDS, 5 Dis (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mencadangkan penubuhan pasukan petugas kebangsaan yang diketuai Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk memastikan Malaysia membangunkan rangka kerja kredit karbon berasaskan kelapa sawit.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dengan jejak operasi yang luas serta ekosistem pekebun kecil yang dimilikinya, pasukan itu boleh dijadikan projek perintis nasional untuk mengoperasikan dan mengesahkan rangka kerja berkenaan yang seharusnya kukuh, telus dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Saya mencadangkan agar pasukan petugas itu turut merangkumi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) atau Bursa Malaysia sebagai pengendali untuk pendaftaran karbon kebangsaan.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan bertindak sebagai pihak berkuasa teknikal dan pembangun metodologi untuk standard karbon berasaskan kelapa sawit, manakala SIRIM Bhd, melalui SIRIM QAS International akan berperanan sebagai badan pensijilan dan pengesahan yang bertauliah,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian dalam ucaptama beliau pada "Second Unlocking Revenue and Sustainability Exploring Carbon Credit Opportunities" di Persidangan Industri Minyak Sawit  2025 yang berlangsung di sini, hari ini.

Dengan bertemakan “ASEAN Biomass in Focus”, persidangan itu telah mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama yang menghubungkan pasaran karbon dengan sektor minyak sawit dan menyokong masa depan industri untuk menerajui kemampanan, dengan memanfaatkan kredit karbon bagi mengurangkan kesan alam sekitar dan memacu inovasi.

Ahmad Shabery juga berkata langkah pertama dalam perjalanan kredit karbon sektor minyak sawit adalah untuk mengiktiraf dan mendaftarkan kredit karbon yang berasaskan kelapa sawit milik Malaysia di bawah daftar karbon kebangsaan.

“Sebaik sahaja kredit karbon itu diiktiraf dan diniagakan, ia akan merangkumi kedua-dua tonggak Visi ASEAN-Malaysia 2025: Keterangkuman dan Kemampanan.

“Ia akan mewakili komitmen bersama kerajaan, industri dan pekebun kecil kita terhadap masa depan yang lebih hijau, adil dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery juga mencadangkan protokol penambahbaikan karbon diperkenalkan ke dalam pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang secara efektif akan mengubahnya kepada MSPO 3.0.

“Versi ini (MSPO 3.0) akan mengintegrasikan mekanisme perakaunan dan pengkreditan karbon dalam proses pensijilan,” tambah beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan