KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta akan memberi kejelasan lebih ketara untuk pemilik perniagaan melakukan perancangan selain mengurangkan bebanan pematuhan segera, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).
Presiden baharu FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata selain itu tindakan kerajaan menaikkan peruntukan bagi bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember, akan membantu mempercepat pembayaran tertunggak serta memberikan sokongan mudah tunai yang kritikal.
“Langkah-langkah yang tepat pada masanya serta strategik ini memberi kelegaan bermakna kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling kecil dengan kebanyakannya terus beroperasi dalam keadaan margin tipis, kapasiti pentadbiran terhad dan tekanan aliran tunai berterusan akibat peningkatan kos operasi serta pembiayaan yang lebih ketat.
“Ini akan mengurangkan tekanan kewangan di serata sektor pembuatan dan PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha untuk mengurangkan beban PKS menjelang pelaksanaan langkah berkenaan pada 1 Januari 2026.
FMM berkata kenaikan nilai ambang itu akan memberi ruang kepada perusahaan mikro dan kecil untuk melakukan usaha pendigitalan pada kadar lebih wajar serta mampu diurus.
Pada masa sama, bayaran balik cukai yang bertepatan pada masanya juga penting berikutan operasi perniagaan berdasarkan terma kredit dan berdepan tunggakan hutang yang ketara serta perlu membayar cukai dahulu sebelum menerima pendapatan sebenar.
Bagi melancarkan lagi proses pembayaran balik cukai itu, Lee berkata FMM mencadangkan pendekatan berasaskan had seperti bayaran balik penuh secara automatik bagi lebihan bayar di bawah RM1 juta dalam usaha mengurangkan beban pentadbiran kepada pembayar cukai dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Sehubungan itu, kami menggalakkan pelaksanaan mekanisme ‘set-off’ automatik iaitu terlebih bayar cukai yang diisytiharkan akan secara automatik diserapkan kepada liabiliti cukai masa depan.
“Ini akan mengurangkan keperluan kerajaan mengeluarkan aliran tunai besar bagi tujuan bayaran balik dan pada masa sama meringankan beban pembiayaan ke atas syarikat-syarikat yang sedang membuat persediaan bagi ansuran cukai seterusnya,” katanya.
Lee berkata secara keseluruhannya, keputusan kerajaan itu akan membantu menstabilkan aliran tunai perniagaan, mengukuhkan aspek persiapan pematuhan dan menggalakkan kelancaran peralihan dalam ekosistem cukai digital Malaysia yang sedang berkembang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial