Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 9 Dis (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), pengendali pelabuhan Labuan berkata ia terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB) terutamanya dalam bidang-bidang pertukaran kepakaran dan amalan terbaik bagi pengurusan pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif MPM Idjal Tahir berkata kerjasama itu akan mewujudkan peluang untuk kedua-dua pulau bebas cukai berkenaan memperkukuh kapasiti operasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam sektor maritim masing-masing.
Beliau berkata MPM yang beroperasi di bawah seliaan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti pengendalian kargo termasuk mengurus ketibaan kapal roll-on/roll-off (ro-ro) yang mengangkut kenderaan import ke Labuan.
“Sebagai pengendali pelabuhan yang diiktiraf atas kecekapan dan kualiti perkhidmatan, MPM berusaha untuk terus meningkatkan keupayaan operasinya.
“Pelabuhan Labuan mengendalikan hampir 70 peratus kargo yang berkaitan sektor minyak dan gas (O&G), manakala baki 30 peratus melibatkan kargo barang penggunaan makanan dan tidak boleh dimakan, pemunggahan kargo beras dan gula, serta bahan pembinaan,” katanya kepada Bernama semasa lawatan kerja delegasi LPSB dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Pelabuhan Labuan hari ini.
Idjal menambah pengiktirafan daripada Persatuan Penghantar Fret Labuan (LFFA) baru-baru ini mencerminkan prestasi kukuh Pelabuhan Labuan dan komitmennya dalam memenuhi jangkaan industri.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Ahmad Fuad Che Ani @ Abd Ghani berkata Labuan dan Langkawi mempunyai persamaan sebagai pulau bebas cukai yang mewujudkan asas semula jadi untuk ruang kerjasama.
“Walaupun sifat operasi pelabuhan berbeza, dengan Pelabuhan Langkawi lebih menumpukan kepada keperluan komuniti tempatan dan ketibaan pelancong, pertukaran kepakaran antara kedua-dua pelabuhan ini merupakan peluang berharga untuk penambahbaikan bersama,” katanya.
Ahmad Fuad yang mengetuai delegasi daripada LADA dan LPSB berkata aktiviti pelabuhan Langkawi lebih berpusatkan pelancongan, tetapi penglibatan kolaboratif seperti perkongsian pengetahuan dan penanda aras operasi menawarkan manfaat kepada kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial