KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Langkah kerajaan menaikkan nilai ambang bagi pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun depan, mampu mendorong usahawan menjadi lebih berdaya saing dalam memajukan perniagaan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro (AUM) Abd Azharee Abdul Wahid berkata ini juga membolehkan mereka menumpukan aspek pembangunan perniagaan, produk dan perkhidmatan yang disediakan.
Pada masa sama, katanya, usahawan juga dapat melakukan usaha penambahbaikan pemasaran, meningkatkan jaringan selain meneroka peluang di peringkat tempatan serta antarabangsa.
“Ini umpama memberi ruang untuk mereka bernafas dalam keadaan ekonomi mencabar ini (dengan memanfaatkan) peluang menyusun semula strategi terutamanya pada 2026. Sepertimana yang saya pernah katakan pada 2020, usahawan kecil dan mikro memerlukan tempoh lima tahun untuk bangkit semula dan 2026 adalah tahun keenam selepas cabaran COVID-19.
“(Justeru) kelonggaran yang diberi oleh kerajaan ini dapat menyuntik semangat usahawan agar lebih berdaya saing dalam meningkatkan perniagaan,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Abd Azharee juga menyifatkan langkah kerajaan menaikkan nilai ambang itu sebagai peluang untuk usahawan meningkatkan aspek pengurusan kewangan dengan baik dan sistematik, terutama dalam bentuk digital.
Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois kepada RM1 juta bermula tahun depan sebagai langkah mengurangkan beban bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial