Oleh Kisho Kumari Sucedaram
GENEVA, 9 Dis (Bernama) -- Pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) global dijangka mencapai 1.9 juta tan atau bersamaan 2.4 bilion liter tahun ini, dua kali ganda berbanding satu tan yang dihasilkan pada 2024, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Bagaimanapun, menjelang 2026, pertumbuhan pengeluaran SAF dijangka melemah dan mencapai paras 2.4 tan.
Anggaran pengeluaran SAF untuk 2025 (1.9 tan) adalah semakan ke bawah daripada jangkaan IATA sebelum ini disebabkan kekurangan sokongan dasar untuk memanfaatkan sepenuhnya kapasiti terpasang SAF.
“Malahan, pengeluaran SAF pada 2025 mewakili hanya 0.6 peratus daripada jumlah penggunaan bahan api jet, meningkat kepada 0.8 peratus menjelang tahun berikutnya. Pada paras harga sekarang, SAF premium diterjemahkan ke dalam kos bahan api tambahan sebanyak US$3.6 bilion untuk industri pada 2025,” katanya.
Ketua Ekonomi dan Naib Presiden Kanan IATA untuk Kemampanan, Marie Owens Thomsen memberitahu adalah jelas bahawa dasar-dasar semasa tidak mempunyai kesan yang diingini memandangkan jumlah pengeluaran SAF yang rendah.
“Dengan fakta-fakta sedemikian, pengawal selia perlu menyesuaikan semula arah bagi menjamin daya maju jangka panjang pengeluaran SAF selain mencapai skala supaya kos dapat diturunkan,” katanya pada Hari Global Media IATA yang diadakan di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa mandat telah melakukan sebaliknya dan adalah keterlaluan untuk mengulangi kesilapan yang sama dengan mandat e-SAF.
Mandat e-SAF adalah peraturan kerajaan, yang memerlukan pembekal bahan api untuk meningkatkan campuran peratusan SAF rendah karbon ke dalam bahan bakar jet, dengan sub-mandat tertentu bagi e-SAF (kuasa-ke-cecair) agar ia mampu memacu penerimaan nyahkarbon penerbangan melalui penggunaan elektrik yang boleh diperbaharui untuk pengeluaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial