LABUAN, 10 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) telah mengeluarkan Nota Panduan mengenai Maqasid al-Shariah untuk Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).
Ia menyediakan peserta pasaran dengan rangka kerja yang jelas dan praktikal untuk mengukuhkan penggunaan prinsip-prinsip Maqasid al-Shariah merentasi operasi perniagaan, amalan tadbir urus serta penawaran produk kewangan.
Diiktiraf sebagai bidang kuasa global yang terkemuka untuk kewangan Islam, Labuan IBFC beroperasi di bawah salah satu rangka kerja undang-undang yang paling komprehensif di dunia, yang bernaung di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan (LIFSSA) 2010.
Labuan FSA melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan dengan penerbitan itu, Labuan IBFC menjadi Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) yang pertama dan satu-satunya yang mengeluarkan Nota Panduan khusus mengenai prinsip-prinsip Maqasid al-Shariah, ini seterusnya, mengukuhkan lagi kepimpinannya dalam sektor berkenaan.
Nota panduan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Pusat Aset Digital Islam (IDAC) yang lebih luas yang telah dilancarkan pada 2022 bagi mempromosikan amalan etika, telus dan mampan dalam Labuan IBFC.
Ia bertujuan meningkatkan penggunaan Syariah melangkaui pematuhan semata-mata, menggalakkan lagi pendekatan holistik yang mampu menyokong penciptaan nilai jangka panjang dan kesan masyarakat yang positif.
Dengan menyelaraskan Maqasid al-Shariah dengan kerangka global, termasuk kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Matlamat Pembangunan Kemampanan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pelaburan Bertanggungjawab Sosial (SRI) serta Taksonomi Kemampanan Labuan IBFC (LiST) - Nota Panduan ini akan meletakkan Labuan IBFC di barisan hadapan usaha di seluruh dunia ke arah kemajuan masa depan kewangan yang adil, bertanggungjawab dan mampan.
Kerangka Maqasid al-Shariah yang berdasarkan kepada lima aspirasi teras akan menyediakan pelan tindakan sejagat dan berpandangan ke hadapan bagi meningkatkan standard serta pertumbuhan progresif dalam ekosistem kewangan Labuan IBFC.
Aspirasi ini merangkumi usaha menjunjung urusan beretika dan adil; meningkatkan kestabilan dan daya tahan kewangan; memandu inovasi dan tujuan pertumbuhan; memperjuangkan kesaksamaan sosio-ekonomi dan keterangkuman kewangan serta pengawasan dan penerimaan kemampanan yang holistik.
Dengan mengintegrasikan objektif etika dan moral ini dengan konsep kemampanan kontemporari, nota panduan menyokong pemain pasaran dalam mencapai nilai komersil jangka panjang sambil menyumbang kepada ekosistem kewangan yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Dengan mengintegrasikan objektif etika dan moral dengan konsep kemampanan kontemporari, Nota Panduan tersebut mampu menyokong pemain pasaran dalam mencapai nilai komersil jangka panjang sambil menyumbang kepada ekosistem kewangan yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Nota Panduan Maqasid al-Shariah untuk Labuan IBFC, sila layari www.labuanfsa.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial