EKONOMI > BERITA

PROJEK LANDASAN BERKEMBAR GEMAS-JOHOR BAHRU BUKTI KEMAMPUAN TENAGA KERJA TEMPATAN

11/12/2025 04:31 PM

JOHOR BAHRU, 11 Dis (Bernama) -- Projek Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru sepanjang 192 kilometer yang dirasmikan hari ini merupakan satu pencapaian besar yang membuktikan kemampuan jurutera dan tenaga kerja tempatan dalam membina infrastruktur bertaraf dunia.

Pengarah Eksekutif SIPP-YTL (SIPP Rail Sdn Bhd dan YTL Construction Sdn Bhd) Yeoh Keong Yuan berkata pihaknya berbangga kerana diberi kepercayaan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam menyempurnakan projek berimpak tinggi tersebut.

“Projek ini bukan sahaja menepati piawaian keselamatan dan kualiti tertinggi, malah penyerahan rasmi hari ini menandakan kejayaan besar bagi industri pembinaan negara,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Kempas Baru di sini.

Ia disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, Pengarah Urusan SIPP-YTL JV Datuk Seri Yeoh Seok Hong secara rasmi menyerahkan penyempurnaan projek kepada Kementerian Pengangkutan yang diwakili Loke.

Mengulas peranan projek itu dalam pembangunan Johor, beliau berkata negeri berkenaan kini muncul sebagai antara pusat pertumbuhan utama dengan kemunculan pusat data, pembangunan infrastruktur dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

“Sebagai kontraktor, peranan kami ialah membantu Kerajaan Persekutuan memperkukuh lagi kemasukan pelaburan ke Johor.

“Infrastruktur ini dijangka meningkatkan daya tarikan pelaburan dan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru,” katanya.

Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru melibatkan pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan identiti serta warisan negeri Johor meliputi empat daerah utama iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dengan stesen terakhir di JB Sentral. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan