EKONOMI > BERITA

CIMB UNJUR LONJAKAN PENDAPATAN BAHAN BINAAN CECAH 68 PERATUS PADA 2026

12/12/2025 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan pertumbuhan pendapatan teras sektor bahan binaan Malaysia melonjak kepada 68 peratus pada 2026 berbanding unjuran 15 peratus pada 2025 sebelum menyederhana kepada 16 peratus pada 2027.

Lonjakan itu dijangka diterajui oleh Ann Joo Resources Bhd yang kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2026, dipacu oleh peningkatan permintaan bagi produk keluli hiliran bernilai tambah, inisiatif keluli hijau di Singapura dan projek kerja-kerja elektrifikasi.

Malayan Cement Bhd juga dijangka meraih manfaat daripada kecekapan kos dan penguasaan bahagian pasaran, kata CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini.

“Selain itu, sokongan tambahan didorong oleh pemulihan perbelanjaan infrastruktur domestik mulai separuh pertama 2026/2027 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta pelaksanaan pusat data hiperskala dan pembangunan industri yang dijangka melonjakkan lagi pesanan untuk simen dan keluli,” katanya.

Menurutnya, kenaikan dalam julat 15–40 peratus bagi caj pengangkutan dan harga produk kuari baru-baru ini, telah mewujudkan tekanan kos struktur merentasi sektor, sekali gus mengekalkan harga tinggi bagi input bahan binaan utama.

Keadaan itu, katanya, susulan daripada pelaksanaan peraturan baharu berkaitan muatan berlebihan pada pertengahan Oktober 2025 yang menyebabkan peningkatan kos secara langsung dalam sektor simen.

“Kami juga menjangkakan kalangan penggiat keluli untuk melepaskan kenaikan kos logistik tambahan kepada pelanggan berikutan margin tipis dalam keadaan harga keluli global yang lemah,” katanya.

CIMB Securities turut mengekalkan Malayan Cement sebagai pilihan utama susulan rangkaian logistiknya yang kukuh serta kedudukan pasaran yang dominan selain manfaat daripada ketidakanjalan permintaan simen.

“Meskipun permintaan keluli dijangka pulih dengan projek baharu di bawah RMK13, kami mengekalkan saranan ‘pegang’ terhadap Ann Joo Resources berikutan margin keluli domestik yang lemah serta rancangan memperkenalkan cukai karbon pada 2026,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan