EKONOMI > BERITA

RUNDINGAN PEMBERIAN KHAS KERAJAAN PERSEKUTUAN-SABAH DITERUSKAN 19 DIS INI - AMIR HAMZAH

15/12/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Sesi rundingan seterusnya antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung pemberian khas dijadual diadakan pada 19 Disember ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif bagi memastikan proses rundingan berjalan dengan teratur. 

"Kerajaan Persekutuan telah meneruskan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah pada 17 Nov 2025 dan menubuhkan satu Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah. 

"Selain itu, turut dibincangkan adalah terma rujukan yang digunakan sebagai panduan semasa rundingan dilaksanakan kelak," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara hari ini. 

Amir Hamzah berkata Kerajaan Persekutuan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) komited merundingkan kadar pemberian khas yang lebih baik termasuk meningkatkan amaun pemberian khas kepada Sabah.

"Pada 2023, Kerajaan Persekutuan telah menaikkan amaun pemberian khas Sabah kepada RM300 juta. Mulai 2025, kerajaan bersetuju menaikkan amaun pemberian khas hampir sekali ganda lagi kepada RM600 juta. 

"Pembayaran ini adalah secara interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan pemberian khas masa hadapan," kata beliau.

Menurut Amir Hamzah, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dengan keperluan peruntukan di Sabah, dengan peruntukan mengurus dan pembangunan terus meningkat daripada RM14 bilion pada 2023 kepada RM17 bilion pada 2026.

Katanya peruntukan ini disalurkan bagi melaksanakan pembangunan strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa, jalan luar bandar dan kemudahan ameniti sosial.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan