EKONOMI > BERITA

CMSB MULA PROJEK BARISAN 2 KLINKER MAMBONG BERNILAI RM673 JUTA BAGI TINGKAT BEKALAN SIMEN SARAWAK

18/12/2025 07:13 PM

PADAWAN, 18 Dis (Bernama) -- Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) hari ini mengadakan majlis pecah tanah projek Barisan 2 Pengeluaran Klinker Mambong bernilai RM673 juta.

Ia merupakan satu pelaburan strategik yang bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran simen dengan ketara dan menyokong pembangunan infrastruktur serta ekonomi Sarawak yang pesat berkembang.

Pengarah Urusan Kumpulan CMSB Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata projek ini yang dijangka memulakan operasi pada pertengahan 2027 akan memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan simen berkualiti tinggi dan stabil.

Katanya, ia juga bagi memenuhi keperluan pembangunan jangka panjang di negeri tersebut.

"Projek ini bukan sahaja mengukuhkan keupayaan pengeluaran kami, tetapi lebih penting menjamin bekalan simen berkualiti dan boleh dipercayai untuk menyokong infrastruktur serta ekonomi Sarawak yang berkembang pesat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada majlis yang diadakan di Kilang Bersepadu Mambong di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut menyampaikan penghargaan kepada lembaga pengarah dan pengurusan CMSB di atas komitmen berterusan mereka terhadap pembangunan Sarawak.

Sulaiman berkata kilang baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi sistem pemulihan haba sisa yang canggih dan mampu menghasilkan kira-kira enam megawatt tenaga bersih, meningkatkan kecekapan operasi selain mengurangkan pengeluaran karbon.

"Kemudahan ini juga akan dilengkapi dengan sistem penapisan debu canggih bagi memastikan tahap pencemaran kekal jauh di bawah had peraturan semasa, selaras dengan komitmen CMSB terhadap kelestarian alam sekitar," tambahnya.

Sementara itu, Abang Johari berkata projek Barisan 2 Klinker yang akan meningkatkan pengeluaran klinker kepada 1.9 juta tan daripada 900,000 tan setahun merupakan pengembangan strategik.

Katanya, ia akan membantu memenuhi permintaan simen yang semakin meningkat susulan sektor perindustrian, pembinaan dan infrastruktur Sarawak yang semakin berkembang.

Katanya, pengembangan ini akan membolehkan CMSB memenuhi keseluruhan permintaan simen Sarawak sambil mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan itu.

Pelaburan bernilai RM673 juta ini merupakan sebahagian daripada komitmen modal lebih luas CMSB iaitu kira-kira RM2 bilion dalam ekosistem simennya sejak memulakan operasi di Sarawak pada 1974, merangkumi pengeluaran simen dan klinker, pembuatan konkrit serta rangkaian logistik.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan