KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia meluluskan tarikh permulaan tarif galakan (FiTCD) untuk loji janakuasa enjin gas pengegasan dua megawatt (MW) Tex Cycle (P2) Sdn Bhd (TCP2) di Pelabuhan Klang, Selangor.
Tex Cycle Technology (M) Bhd, iaitu syarikat induk TCP2 berkata FiTCD yang diluluskan oleh SEDA itu akan berkuat kuasa secara retrospektif bermula 30 Sept, 2025 dengan jumlah kadar tarif galakan (FiT) sebanyak RM0.4266 setiap kilowatt-jam (kWj).
“Ia dapat dicapai berikutan kejayaan menamatkan ujian tarikh operasi awal (IOP) pada 28 Julai 2025, serta seterusnya ujian penerimaan dan penilaian prestasi (ATPA),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Penyedia penyelesaian pengurusan sisa dan kitar semula itu berkata kelulusan itu membolehkan Tex Cycle untuk memulakan operasi komersial sepenuhnya di bawah perjanjian pembelian kuasa tenaga boleh baharu dengan Tenaga Nasional Bhd.
“Loji perintis itu menandakan peristiwa penting pengembangan Tex Cycle ke dalam sektor tenaga boleh baharu.
“Dengan memanfaatkan teknologi pengegasan termaju, ia menukar biojisim kepada gas sintetik yang yang bertindak sebagai bahan bakar enjin gas berkecekapan tinggi bagi menjana elektrik,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal Tex Cycle Lee Junyan berkata dengan memanfaatkan pengegasan, syarikat itu merekayasa sistem pelepasan rendah, kecekapan tinggi yang menukar biojisim kepada pelbagai aliran nilai, daripada gas sintetik kepada produk sampingan seperti bioarang dan cuka kayu.
“Pelancaran ini mengukuhkan keupayaan teknikal kami dan membuka peluang baharu bagi aplikasi teknologi hijau,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial