EKONOMI > BERITA

PERDANA MENTERI SAMBUT BAIK PENILAIAN IMF, MENEGASKAN KEUTAMAAN PENGURUSAN EKONOMI BERHEMAT

19/12/2025 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia dengan menekankan bahawa keutamaan kerajaan tetap memastikan kestabilan ekonomi diuruskan secara bertanggungjawab.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus memastikan kestabilan ekonomi bukan sahaja diuruskan secara berhemat tetapi juga dirasai oleh rakyat melalui peluang pekerjaan yang selamat dan adil serta keyakinan berterusan pada masa depan.

“Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemat dan mempercepatkan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia ke-13, supaya pertumbuhan yang kita bina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberikan manfaat bermakna kepada semua rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan di media sosial.

Terdahulu, hari ini, Ketua Misi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Masahiro Nozaki berkata Malaysia telah menunjukkan daya tahan ketara terhadap ketegangan perdagangan global dan ketidakpastian dasar dengan ekonomi berkembang pada kadar yang sihat tahun ini, disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik kukuh, pertumbuhan pekerjaan stabil dan kitaran peningkatan sektor teknologi global.

“Prestasi kukuh ini sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi yang kukuh, pihak berkuasa telah mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat,” kata Nozaki selepas mengadakan perundingan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan lain.

Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dengan kakitangan IMF mengunjurkan pertumbuhan akan berkurangan sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, kebanyakannya mencerminkan kesan tarif Amerika Syarikat lebih tinggi ke atas negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan