KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Evergreen Max Cash Capital Bhd (EMCC) memperoleh kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi empat lesen pajak gadai baharu meliputi dua cawangan di Pahang serta masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.
EMCC merupakan penyedia perkhidmatan pajak gadai yang kukuh selain terlibat dalam perniagaan peruncitan dan perdagangan emas serta barangan mewah.
Keempat-empat cawangan yang baru diluluskan ini dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2026 sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan cawangan kumpulan kepada lebih 100 serta mengukuhkan usaha strategik kumpulan untuk memperluaskan rangkaian operasinya di seluruh negara.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Low Kok Chuan berkata pencapaian ini amat signifikan kepada kumpulan memandangkan EMCC hanya disenaraikan di Bursa Malaysia pada September 2023, ketika kumpulan itu mengendalikan hanya 22 cawangan.
“Dalam tempoh kurang daripada tiga tahun, EMCC berjaya memperluaskan rangkaian cawangannya lebih empat kali ganda sekali gus menzahirkan kebolehskalaan model perniagaan kami serta komitmen berterusan terhadap strategi pengembangan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga kini, kumpulan itu mengendalikan rangkaian sebanyak 98 cawangan terdiri daripada 29 pajak gadai konvensional dan 69 pajak gadai Islam yang terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Terengganu.
Mengulas mengenai prospek masa hadapan, Low berkata kumpulan kekal positif terhadap unjuran pertumbuhannya dengan harga emas yang tinggi, menyumbang kepada perlindungan cagaran yang lebih baik serta kadar kemungkiran lebih rendah di seluruh portfolio pinjaman kumpulan.
Beliau menambah EMCC akan terus mengekalkan nisbah pinjaman kepada nilai yang berhemah bagi mengurus potensi ketidaktentuan harga.
“Disokong oleh portfolio pinjaman yang berkembang dengan konsisten, rangkaian cawangan di seluruh negara yang semakin meluas serta keyakinan berterusan daripada institusi kewangan, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan nilai mampan jangka panjang kepada para pemegang saham,” kata Low.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial