KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- MARC Ratings mengekalkan penarafan berdaulat maklumat awam ke atas Malaysia pada AAA dengan tinjauan stabil berdasarkan skala penarafan nasional agensi penarafan kredit itu.
Katanya penarafan AAA mencerminkan kredit Malaysia yang kukuh, termasuk ekonomi yang terbuka dan pelbagai, dasar monetari yang baik, sektor kewangan yang berdaya tahan serta kemajuan berterusan dalam pembaharuan struktur dan institusi.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 walaupun terdapat ketidaktentuan luaran dan dijangka mampan pada 2026, disokong oleh pelaburan asing yang kukuh, terutamanya dalam pembuatan dan perkhidmatan dengan nilai tambah tinggi, selain penggunaan isi rumah yang berdaya tahan dan pasaran tenaga kerja yang stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut syarikat penarafan itu, dasar monetari Malaysia kekal menjadi kekuatan kredit teras, mengekalkan kestabilan harga dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Kedudukan Malaysia pada peringkat luaran kekal kukuh, dengan lebihan akaun semasa yang konsisten, penampan rizab antarabangsa yang mencukupi dan bahagian hutang awam dalam denominasi mata wang asing yang rendah.
“Ringgit mengukuh pada sekitar lapan peratus sehingga akhir November 2025, mencerminkan tekanan luar yang terkawal,” katanya.
Menurut MARC Ratings, pelonggaran dasar Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Keperluan Rizab Berkanun yang lebih rendah dan penurunan Kadar Dasar Semalaman telah membantu mengekalkan aliran kredit dan mengurangkan kos pembiayaan dalam ketidaktentuan global.
“Komitmen kerajaan terhadap pengukuhan fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dijangka menyokong kedudukan hutang yang semakin baik secara berperingkat untuk tempoh sederhana, dengan defisit fiskal diunjurkan terus mengecil.
“Bagaimanapun, mencapai pertumbuhan dan matlamat fiskal yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, bergantung pada pelaksanaan dasar yang konsisten dan berkesan,” katanya.
Tinjauan stabil mencerminkan jangkaan MARC Ratings bahawa Malaysia akan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang baik, terus meningkatkan kecekapan fiskal dan mencatat kemajuan seterusnya dalam menangani kekangan struktur, termasuk subsidi, ketirisan hasil dan hutang awam yang meningkat.
“Pada masa depan, keutamaan untuk mengukuhkan profil kredit Malaysia termasuklah metrik fiskal yang terus bertambah baik selain pertumbuhan hutang yang sederhana melalui langkah pengukuhan fiskal yang berterusan dan memastikan pelaksanaan sasaran ekonomi yang dirancang adalah mengikut jadual.
“Sebaliknya, kegagalan untuk memenuhi matlamat pengukuhan fiskal atau sasaran ekonomi seperti yang dirancang boleh menyebabkan profil kredit negara lemah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial