EKONOMI > BERITA

INDEKS NILAI SEUNIT EKSPORT MALAYSIA TURUN 0.1 PERATUS PADA NOVEMBER 2025

26/12/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Indeks nilai seunit eksport Malaysia merosot 0.1 peratus kepada  154.0 mata pada November 2025 berbanding 154.2 mata pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Indeks nilai seunit import pula susut 0.1 peratus kepada 124.5 mata daripada 124.6 mata pada bulan sebelumnya. 

Menurut DOSM, terma perdagangan Malaysia turun sedikit sebanyak 0.02 peratus bulan ke bulan kepada 123.68 mata pada November 2025 daripada 123.70 mata. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyusutan dalam indeks nilai seunit eksport didorong terutamanya oleh penurunan dalam minyak galian (-2.2 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (-1.0 peratus) dan bahan kimia (-0.1 peratus). 

“Selain itu, indeks volum eksport turun 8.9 peratus selaras dengan penurunan dalam indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-27.4 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-11.9 peratus) serta barang-barang keluaran kilang (-9.1 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim juga turun 6.3 peratus kepada 165.9 mata daripada 177.1 mata.

“Bagaimanapun, merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum eksport masing-masing meningkat 3.3 peratus dan 3.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohd Uzir berkata indeks nilai seunit import turun 0.1 peratus pada November 2025, berikutan penurunan dalam indeks bahan kimia, bahan galian (-0.3 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan  (-0.1 peratus).

Dalam pada itu, beliau berkata indeks volum import meningkat 0.8 peratus bulan ke bulan, disokong oleh peningkatan dalam indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+7.5 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (+2.1 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim juga naik 4.2 peratus kepada 234.3 mata daripada 225.0 mata.

“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan bahawa indeks nilai seunit import turun 1.9 peratus, manakala indeks volum meningkat 18.0 peratus,” katanya. 

Mohd Uzir berkata terma perdagangan Malaysia turun 0.02 peratus bulan ke bulan kepada 123.7 mata pada November 2025, didorong oleh penurunan dalam indeks minyak galian (-1.9 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (-1.0 peratus) dan makanan (-0.05 peratus). 

Sementara itu, tambahnya, terma perdagangan Malaysia meningkat 5.2 peratus tahun ke tahun daripada 117.5 mata pada November lepas. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan