Oleh Farhana Poniman
GEORGE TOWN, 28 Dis (Bernama) -- Projek naik taraf Stesen KTM Butterworth dan pembesaran Terminal Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berpotensi menjadi pemangkin penting ke arah mencapai pembangunan lebih seimbang antara bahagian pulau dan Seberang Perai.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata kedua-dua projek itu saling melengkapi khususnya dalam memperkukuh ekosistem mobiliti serta meningkatkan keupayaan logistik negeri.
“Naik taraf KTMB Butterworth akan mengukuhkan peranan Seberang Perai sebagai hab mobiliti utama, manakala projek kargo di lapangan terbang pula meningkatkan kapasiti logistik dan kargo udara di bahagian pulau. Hasilnya, pertumbuhan ekonomi boleh diedarkan dengan lebih seimbang,” katanya kepada Bernama.
Menurut Zairil, cadangan pembangunan di Stesen KTM Butterworth meliputi pembinaan dan penambahbaikan ruang menunggu, lobi bertingkat, kemudahan eskalator, kawasan ‘drop-off zone’ serta kemudahan sokongan lain.
Beliau berkata perancangan rekabentuk bermula pada Januari 2025 dan siap pada Julai tahun sama, manakala proses tender dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada awal 2026.
Pada masa sama, Zairil berkata kerajaan negeri tidak terlibat dalam perancangan projek berkenaan, namun melihat peranan stesen itu sebagai nadi pengangkutan utama di Seberang Perai.
“Stesen KTMB Butterworth ialah pintu masuk penting untuk ETS, kereta api antara bandar dan perkhidmatan transit. Integrasinya dengan rangkaian pengangkutan awam, termasuk perancangan LRT Pulau Pinang, amat penting bagi memastikan perjalanan lancar,” katanya.
Beliau berkata aspek yang sedang diberi tumpuan termasuk kesalinghubungan fizikal, penyelarasan jadual, integrasi tiket dan maklumat perjalanan serta pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Mengenai pembesaran Terminal Kargo Udara LTAPP, kerja-kerja awal dijangka bermula pada suku pertama 2026 dengan pembinaan siap pada suku keempat 2028, katanya.
Selepas siap, kapasiti kargo dianggarkan meningkat sebanyak 337,280 tan metrik berbanding kapasiti sedia ada sekitar 150,000 tan metrik.
Setakat Oktober, 2025, jumlah kargo direkodkan ialah 117,000 tan metrik dan bagi keseluruhan tahun diunjurkan mencapai kira-kira 150,000 tan metrik, dengan potensi peningkatan tahunan sekitar 4.5 peratus sehingga 2030.
Beliau berkata projek itu melengkapkan usaha memperluas kemudahan kargo, termasuk perancangan Penang International Logistic Airpark (PILA) berhampiran kawasan LTAPP, yang akan berfungsi sebagai Zon Bebas Kompleks Kargo Udara Kedua.
Justeru, menerusi rangkaian logistik yang lebih cekap dan kapasiti kargo lebih besar, Pulau Pinang berpotensi menjadi hab logistik dan perdagangan yang lebih kompetitif.
Zairil berkata peningkatan kapasiti penerbangan dan kargo bukan sahaja mengukuhkan jaringan logistik, malah mampu menarik pelaburan baharu, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi.
“Kedua-dua projek ini dapat memperluas manfaat pembangunan ke seluruh negeri dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang, di samping memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab serantau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial