EKONOMI > BERITA

AXIS-REIT PEROLEH HARTANAH INDUSTRI DI JOHOR PADA HARGA RM34.6 JUTA

31/12/2025 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Pemegang amanah Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT), RHB Trustees Bhd telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) untuk memperoleh kilang berkembar dua tingkat dengan bangunan pejabat dua tingkat di Johor melalui pertimbangan tunai sebanyak RM34.6 juta.

 Axis-REIT dalam satu kenyataan berkata bangunan dan tanah di Senai itu akan dibeli daripada Banyan Estate Malaysia Sdn Bhd (BEMSB).

“Bangunan itu, yang akan mempunyai anggaran kasar keluasan binaan 115,363 kaki persegi selepas siap, akan dibangunkan oleh BEMSB mengikut spesifikasi perjanjian untuk membina dan memajak (ATBL) yang dimeterai antara RHB, BEMSB serta FCI Connectors Malaysia Sdn Bhd (FCI),” katanya.

Pembinaan bangunan tersebut disasarkan selesai dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh SPA dan ATBL.

Selepas siap, Axis-REIT akan memajakkan bangunan itu kepada FCI bagi tempoh lima tahun dengan sewa bulanan permulaan sebanyak RM207,653.40, tertakluk kepada peningkatan semasa tempoh pajakan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Bhd, Leong Kit May ketika mengulas mengenai pengambilalihan itu berkata sebagai sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura, Senai menawarkan persekitaran operasi perniagaan yang kos efisyen, yang akan melengkapkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi Singapura.

“Kami percaya pengambilalihan ini mampu menyokong strategi pelaburan kami dengan menambah aset yang menjana pendapatan berkualiti tinggi melalui pulangan sewa yang kukuh dan berulang termasuk meningkatkan lagi prestasi jangka panjang Axis-REIT,” katanya.

Melalui makluman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menambah bahawa cadangan pemerolehan hartanah itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2027 pada tarikh siap, yang disasarkan menjelang suku keempat 2027.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan