EKONOMI > BERITA

EKONOMI SINGAPURA TUMBUH 5.7 PERATUS PADA SUKU KEEMPAT 2025

02/01/2026 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Ekonomi Singapura mencatat pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus bagi tahun ke tahun pada suku keempat 2025 yang merupakan lanjutan pertumbuhan 4.3 peratus pada suku sebelumnya, demikian menurut anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) republik itu.

Dalam kenyataannya hari ini, MTI berkata bagi asas suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi Singapura berkembang 1.9 peratus -- susut daripada pengembangan 2.4 peratus pada suku ketiga.

Bagi tahun penuh 2025, ekonomi itu berkembang sebanyak 4.8 peratus yang merupakan peningkatan daripada pertumbuhan 4.4 peratus pada 2024.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menerusi perutusan Tahun Baharu 2026 pada 31 Disember lepas, berkata republik itu mencatat pertumbuhan lebih kukuh yang mengatasi jangkaan sebanyak 4.8 peratus walaupun berdepan cabaran luar.

Dari segi sektor pula, MTI berkata sekor pembuatan mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 15 peratus secara tahun ke tahun pada suku keempat 2025 yang meningkat daripada 4.9 peratus pada suku sebelumnya, dipacu terutamanya oleh peningkatan pengeluaran dalam kluster bioperubatan dan elektronik.

Sektor pembinaan tumbuh 4.2 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sama, susut sedikit daripada pertumbuhan 5.1 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh peningkatan output pembinaan sektor awam dan swasta.

Bagi sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan berkembang secara kolektif sebanyak 3.9 peratus yang meneruskan pertumbuhan 3.7 peratus pada suku sebelumnya.

Kesemua subsektor dalam kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pada suku di bawah tempoh tinjauan berkenaan.

Sektor penginapan dan perkhidmatan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta perkhidmatan lain turut berkembang 3.2 peratus pada suku keempat, lebih perlahan berbanding pertumbuhan 4.0 peratus pada suku sebelumnya.

Peningkatan sektor penginapan khususnya, didorong oleh pertambahan jumlah kehadiran pengunjung asing.

MTI berkata anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku keempat serta keseluruhan 2025, termasuk prestasi sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan, dan produktiviti, bakal diterbitkan dalam Tinjauan Ekonomi Singapura pada Februari 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan