Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata lanjutan tempoh pelaksanaan e-Invois serta pengurangan Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan premis perniagaan akan memberi banyak kelegaan khususnya kepada perniagaan yang diuruskan sendiri oleh pemilik.
Presiden DPMM Norsyahrin Hamidon berkata lanjutan tempoh peralihan tanpa penalti itu memberi lebih masa kepada perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk menyesuaikan proses dalaman serta mengurus keperluan pentadbiran tambahan susulan pelaksanaan e-Invois.
“Pelaksanaan e-Invois meningkatkan keperluan pentadbiran kerana invois perlu dikeluarkan dan dihantar terus ke dalam sistem pihak berkuasa cukai secara masa nyata dan tidak lagi boleh dipinda secara tidak formal.
“Kebanyakan PKS, individu yang sama turut mengendalikan jualan, pentadbiran dan kutipan bayaran, menyebabkan sebarang keperluan pematuhan tambahan secara semula jadi menambah beban kerja. Keadaan ini menyebabkan sebahagian PKS menanggung kos tambahan, termasuk menugaskan kakitangan khusus untuk mengurus pematuhan serta melatih semula pekerja berikutan pertukaran kakitangan yang kerap,” katanya kepada Bernama.
Norsyahrin mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai lanjutan tempoh peralihan tanpa penalti bagi pelaksanaan e-Invois selama setahun untuk syarikat yang mencatat jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Anwar turut mengumumkan pengurangan Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan premis untuk PMKS kepada enam peratus daripada lapan peratus, manakala perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1.5 juta dikecualikan daripada Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan.
Norsyahrin berkata langkah-langkah tersebut akan mengukuhkan usaha membendung ekonomi bayangan, di samping mengurangkan tekanan pematuhan kepada PMKS.
“Penggunaan e-Invois yang lebih meluas meningkatkan ketelusan dalam urus niaga perniagaan dan mengurangkan aktiviti ekonomi yang tidak dilaporkan, yang dianggarkan melebihi RM300 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan PKS telah mengambil langkah pematuhan dengan menghadiri sesi latihan dan menggunakan aplikasi e-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sekali gus menunjukkan peningkatan penerimaan terhadap sistem itu walaupun sebelum ini terdapat kebimbangan peralihan itu.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata langkah terbaharu kerajaan itu dapat menangani kekangan utama dalam pemulihan ekonomi Malaysia.
“Permintaan bukan lagi kekangan utama apabila isi rumah kembali berbelanja, namun begitu, kos barangan dan perkhidmatan masih tinggi.
“Seperti yang dihuraikan dalam penerbitan Economic Pulse 2026 kami, firma kecil kini terhimpit antara kenaikan gaji, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos logistik dan pematuhan, serta kos pembiayaan yang lebih mahal, pada masa sama mereka diminta untuk mendigitalkan operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya kepada Bernama.
Justeru itu, beliau berkata tanpa sokongan dari segi dasar tekanan ini berpotensi diterjemahkan kepada pengambilan pekerja yang lebih perlahan, penangguhan pelaburan dan margin keuntungan yang semakin mengecil, sekali gus secara beransur-ansur melemahkan momentum ekonomi sebenar.
Melihat dari sudut itu, pengecualian ini lebih bertujuan mengekalkan aliran tunai dan keyakinan perniagaan di peringkat paling kritikal, bukannya sekadar pemberian cukai, katanya.
Mohd Sedek turut menegaskan Malaysia telah membina rangkaian perjanjian perdagangan dan platform perdagangan digital yang kukuh, namun bagi kebanyakan PMKS, kos tetap untuk beroperasi secara formal, termasuk dokumentasi, pensijilan, percukaian dan pematuhan peraturan, masih menjadi halangan kepada pertumbuhan atau peluasan eksport.
“Dengan meringankan beban cukai di peringkat bawah rantaian perusahaan, langkah kerajaan itu memudahkan syarikat meningkatkan skala operasi, meneroka pasaran baharu dan beralih ke aktiviti bernilai tambah yang berdaya maju,” katanya.
Beliau berkata pendekatan kerajaan itu bersifat berdisiplin dari sudut ekonomi, bukannya terlalu bermurah hati.
Ini kerana, katanya ia menyokong permintaan domestik, menstabilkan pasaran pekerjaan dan meningkatkan kebarangkalian akses perdagangan Malaysia diterjemahkan kepada pengembangan perniagaan sebenar ketika ekonomi memasuki fasa awal kitaran pada 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial