EKONOMI > BERITA

PENGILANG PERLU KEKAL WASPADA KEMUNGKINAN KOS BAHAN BINAAN MENINGKAT -- REHDA

06/01/2026 02:19 PM

PETALING JAYA, 6 Jan (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa pengeluar dan pengilang tempatan agar terus berwaspada terhadap peningkatan kos bahan binaan, yang boleh menjejaskan kemampuan harga hartanah. 

Presiden REHDA Malaysia Datuk Ho Hon Sang berkata adalah penting untuk mengawal kos bahan, sambil menyatakan bahawa kebanyakan bekalan diperoleh daripada pengilang dan pengeluar tempatan. 

“Kebanyakan bahan yang digunakan untuk projek yang mudah diperoleh daripada sumber tempatan, tetapi semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa terdapat peningkatan dalam kos bahan, yang akan menjejaskan kemampuan produk akhir (hartanah).

“Oleh itu, pengeluar atau pengilang tempatan perlu sentiasa berwaspada agar kos kekal di bawah kawalan. 

“Kami tidak mahu kos operasi yang tinggi menjejaskan harga jualan akhir kepada pengeluar,” katanya kepada media selepas majlis pra-pelancaran Siri CEO Institut REHDA 2026, di sini hari ini.

Menurut Hon, kos pembinaan dijangka meningkat kira-kira dua hingga tiga peratus tahun ini, dengan anggaran separuh daripada peningkatan itu berkemungkinan ditunjukkan dalam harga jualan. 

“Bagaimanapun, sebarang pelarasan harga akan bergantung kepada pemaju secara individu, model perniagaan mereka dan kekuatan strategi jualan serta pemasaran masing-masing. 

“Sesetengah pemaju mungkin memilih untuk menyerap sebahagian daripada kenaikan itu, manakala yang lain mungkin memilih menaikkan harga sedikit, bergantung kepada jenis hartanah yang mereka tawarkan,” tambahnya. 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melonggarkan syarat import jika diperlukan, bagi memastikan kos bahan binaan kekal rendah dan tidak membebankan orang ramai.  

Menurut Anwar, langkah itu akan dipertimbangkan sekiranya kenaikan harga oleh pemain industri terus memberi tekanan kepada kos pembangunan dan kos sara hidup. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan