KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengesyorkan supaya pengilang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan barangan bercukai dikecualikan daripada membayar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan input seperti sewaan dan logistik.
Ini bagi mengelakkan kesan cukai berganda yang meningkatkan kos.
Presidennya Jacob Lee berkata, pelepasan cukai perkhidmatan serta pengecualian cukai jualan yang disasarkan akan menyediakan ruang kelegaan yang amat diperlukan oleh PKS untuk mengurus aliran tunai, melabur semula dalam penambahbaikan produktiviti dan menyokong kesinambungan perniagaan.
Katanya, FMM mengalu-alukan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan bagi PKS dengan perolehan tahunan sehingga RM1.5 juta, seiring dengan pengurangan kadar cukai perkhidmatan kepada enam peratus.
“Semakan naik nilai ambang cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan ini akan membantu mengurangkan tekanan kos yang dihadapi PKS.
“Khususnya pengilang dan penyedia perkhidmatan sokongan yang beroperasi dari premis sewaan berikutan kekangan kewangan untuk membeli atau membina kemudahan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi kebanyakan perniagaan kecil, perbelanjaan sewaan merupakan kos tetap yang tidak dapat dielakkan dan pelepasan daripada beban cukai tambahan memberikan ruang kelegaan yang amat diperlukan untuk mengurus aliran tunai, melabur dalam penambahbaikan produktiviti serta menyokong kesinambungan perniagaan, kata Lee.
“Ini merupakan langkah positif untuk meningkatkan daya saing PKS,” tambahnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikurangkan kepada enam peratus daripada lapan peratus.
Bagi perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan sehingga RM1.5 juta dikecualikan daripada Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial