EKONOMI > BERITA

MAYBANK IB OPTIMIS TERHADAP TBB BERIKUTAN PROJEK SKALA UTILITI RAIH MOMENTUM

07/01/2026 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) kekal positif terhadap sektor tenaga boleh baharu (TBB) berikutan pelancaran berterusan projek berskala utiliti termasuk Solar Berskala Besar (LSS) pusingan keenam (LSS6), Skim Pembekalan TBB Korporat (CRESS) dan program MyBest, yang terus menjadi tumpuan utama.

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan hari ini turut menjangka tumpuan yang semakin meningkat terhadap integrasi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) sebagai fokus utama pada 2026, sekali gus membuka peluang kepada penggiat TBB untuk lebih menyerlah berbanding rakan industri.

“Kami menjangka pendapatan sektor ini sebahagian besarnya dipacu oleh pelaksanaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek LSS5, LSS5+, MyBeST dan CRESS, selain pengenalan Program Tindakan Peralihan Solar Dipercepatkan (Solar ATAP) bagi merancakkan semula permintaan terhadap pemasangan solar bumbung kediaman,” katanya.

Maybank IB berkata program TBB baharu (MyBeST, CRESS dan Solar ATAP) dan naik taraf grid yang berterusan mempercepat integrasi BESS, membolehkan penggiat TBB membangunkan prestasi yang berbeza dalam reka bentuk dan pengintegrasian BESS dalam keadan kumpulan pakar berskala utiliti yang  terhad.

Menurutnya Solarvest kekal sebagai pilihan utama sektor ini dan muncul sebagai penerima manfaat utama daripada pelaksanaan berterusan program TBB memandangkan penguasaan pasarannya yang dominan sebanyak 30 peratus dalam projek solar berskala utiliti.

Ia juga adalah pesaing kukuh untuk perancangan projek BESS berskala utiliti yang akan datang.

“Seiring dengan laporan ini, kami mula menganalis Pekat dengan penarafan “Beli” menerusi harga sasaran RM1.98 berikutan segmen perniagaan utamanya dalam keadaan baik untuk memanfaatkan peluang daripada agenda TBB Malaysia, penaiktarafan infrastruktur grid serta peningkatan berterusan dalam pembinaan pusat data,” katanya.

Maybank IB turut mengekalkan saranan beli ke atas BM Greentech Bhd, yang dijangka mendapat manfaat daripada pengenalan Solar ATAP bagi merancakkan semula permintaan solar bumbung kediaman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan