KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Pengendali talian tetap dijangka memacu keuntungan dalam sektor telekomunikasi Malaysia pada 2026, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Katanya, prestasi itu disokong oleh persaingan gentian optik yang semakin sederhana, pelaksanaan pusat data yang semakin pesat dan peluang untuk pembayaran dividen yang lebih tinggi.
Dalam satu nota penyelidikan hari ini, HLIB berkata pengendali talian tetap seperti Telekom Malaysia (TM) dan Time dotCom (TDC) berada pada kedudukan yang lebih baik bagi mengatasi pesaing iaitu pengendali rangkaian mudah alih, terutamanya pada separuh pertama 2026.
"Kami melihat TM dan TDC berpotensi memberi hasil bersih melebihi 4.5 peratus sekali gus merapatkan jurang hasil berbanding pengendali rangkaian mudah alih," katanya.
Sebaliknya, HLIB berkata pengendali rangkaian mudah alih berdepan persekitaran jangka pendek yang kurang menyokong disebabkan ketidaktentuan yang melibatkan model borong 5G Digital Nasional Bhd (DNB).
"Walaupun kami kekal positif terhadap pelaksanaan konsisten Maxis dan melihat CelcomDigi sebagai menarik secara asasnya pada tahap semasa, penarafan semula yang berterusan untuk kedua-duanya tidak mungkin berlaku.
"Ia sehingga terdapat keterlihatan yang lebih jelas mengenai struktur dan hala tuju jangka panjang DNB yang kami tidak jangkakan berlaku sebelum separuh kedua 2026," katanya.
Ia turut berkata persaingan dalam segmen jalur lebar gentian tetap sengit walaupun tanda-tanda awal rasionalisasi mula muncul pada akhir 2025.
HLIB mengekalkan saranan "Overweight" untuk sektor telekomunikasi dengan TM sebagai pilihan utama mereka (sasaran harga: RM8.50).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial