KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Memasuki 2026, pasaran hartanah Malaysia yang berdaya tahan sebelum ini sedang berkembang memasuki tahap relevan selepas disokong oleh kestabilan ekonomi, pembaharuan dasar dan pembangunan yang diterajui infrastruktur, menurut CBRE WTW Valuation and Advisory Sdn Bhd (CBRE WTW).
Firma perkhidmatan hartanah bersepadu itu berkata pasaran itu dijangka akan kekal mantap selain menjurus ke arah peningkatan dalam kualiti, kemampanan dan penciptaan nilai jangka panjang.
Pengarah Urusan Kumpulan Tan Ka Leong berkata aset, lokasi dan strategi perlu kekal relevan kepada penduduk, pelabur, komuniti serta ekonomi masa hadapan.
“Dalam kita melihat ke arah 2026, beberapa tema kelihatan menonjol di seluruh Malaysia seperti tumpuan yang lebih kukuh ke atas kualiti aset dan kebolehsuaian, pengaruh berterusan ke atas infrastruktur dan ketersambungan, peningkatan jangkaan sekitar kemampanan dan kecekapan, serta lebih ditentukur, didorong nilai pencetusan keputusan oleh penghuni dan pelabur,” katanya semasa taklimat Tinjauan Pasaran Hartanah CBRE WTW Malaysia di sini hari ini.
Tan juga berkata unjuran pasaran hartanah kediaman di Malaysia kekal positif secara terpilih, dengan pergerakan harga dijangka dibuat secara terukur dan bukan lagi berasaskan rentas sektor secara meluas.
Sementara itu, pasaran hartanah komersil akan terus dipacu oleh aset sedia masa hadapan yang mematuhi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Tan ketika memetik semakan Indeks Harga Pengguna (IHP) menjelaskan pasaran kediaman pada 2026 berkemungkinan kekal positif secara terpilih, disokong bukan sahaja oleh pembangunan yang terletak dengan baik tetapi juga ketersambungan yang kukuh, kualiti dan jangkaan pembeli yang berubah.
"Kita percaya hartanah berkualiti, sama ada bertanah atau bertingkat tinggi, yang terletak dengan strategik dan harga berpatutan akan terus mendapat permintaan. Kita menjangkakan kenaikan harga akan kekal sederhana, mungkin melebihi tiga peratus," katanya.
Sementara itu, Tan memberitahu program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah menjana tindak balas positif dalam pasaran hartanah Malaysia, khususnya bagi hartanah berharga melangkaui RM1 juta.
Sejak dua tahun lepas, isu unit tidak terjual di pusat bandar Kuala Lumpur termasuk kawasan seperti Mont Kiara, telah berkurangan, dengan unit mencecah RM1 juta ke atas yang sebelum ini tidak dapat dijual, secara beransur-ansur dibeli oleh pembeli asing.
“Pulau Pinang turut mendapat manfaat daripada program itu, kerana ia menyasarkan pembeli asing sebagai salah satu kumpulan pembeli utama untuk kediaman bertingkat tinggi dan mewah," katanya.
Mengenai prospek pasaran yang lebih meluas, Tan berkata Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia–Amerika Syarikat yang baru ditandatangani, bersama-sama dengan peningkatan aliran teknologi, dijangka mampu menarik pelaburan asing yang lebih besar ke dalam segmen hartanah bernilai tinggi seperti taman perindustrian termaju, pembangunan bercampur dan pejabat komersial.
Secara lebih menyeluruh, pasaran hartanah Malaysia pada tahun ini dijangka kekal stabil, dengan harga dan prestasi semakin didorong oleh kualiti aset, kemampanan serta kekal relevan pada jangka panjang, khususnya dalam segmen komersial dan perindustrian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial