KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Malaysia Airlines mengesahkan penerbangan MH21 yang beroperasi dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (CDG) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jan telah berpatah balik ke CDG sejurus selepas berlepas sebagai langkah berjaga-jaga susulan anomali petunjuk enjin.
Menurut Malaysia Aviation Group (MAG), kru penerbangan telah memohon pengendalian keutamaan dan mematuhi arahan kawalan trafik udara, termasuk penggunaan kod transponder kecemasan selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard untuk memudahkan penerbangan kembali dengan selamat ke CDG bagi pemeriksaan teknikal.
“Pesawat itu mendarat dengan selamat pada 3.35 petang waktu tempatan di Paris,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi WhatsApp hari ini.
Ia berkata penumpang yang terjejas telah dipindahkan ke syarikat penerbangan alternatif yang tersedia, manakala sebahagiannya lagi ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang.
Penerbangan gantian MH21D dijadualkan berlepas dari CDG pada 5 petang waktu tempatan hari ini.
“Malaysia Airlines amat kesal atas kesulitan dan gangguan terhadap rancangan perjalanan penumpang kami. Keselamatan kekal sebagai asas paling utama syarikat penerbangan ini,” tambahnya.
Semakan di Flightradar24 mendapati jadual waktu berlepas (STD) penerbangan A350-941 pada 11.10 pagi, namun waktu berlepas sebenar (ATD) ialah pada 2.09 petang sebelum pendaratan kecemasan dilakukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial