Daripada Muhammad Saufee Rosman
ISTANBUL, 8 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam industri strategik dengan saling memanfaatkan kekuatan dalam sektor pertahanan, tenaga dan teknologi tinggi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Turkiye diiktiraf sebagai antara negara yang memiliki teknologi paling maju dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa serta industri nuklear.
“Anda (Turkiye) mempunyai kekuatan tersendiri, contohnya, sudah tentu yang terkuat dalam industri pertahanan...termasuk dron,” kata beliau menerusi ucapan pembukaan pada mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri di sini, hari ini.
Beliau berkata justeru, kedua-dua negara perlu mewujudkan sinergi bersama dengan memberi tumpuan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), dengan memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam sektor tenaga, semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
“Kami merupakan penggiat utama di peringkat rantau dalam semikonduktor dan E&E, malah juga pelaburan utama dari Amerika Syarikat yang masih menjadi yang terbesar,” katanya.
Anwar berkata sinergi antara kekuatan industri kedua-dua negara membuka ruang untuk kerjasama strategik yang saling memberi manfaat, khususnya dalam pembangunan teknologi baharu, pemindahan pengetahuan dan pengembangan pasaran serantau.
“Gabungan kekuatan Turkiye dalam sektor pertahanan, pembinaan dan pembuatan, bersama-sama kelebihan Malaysia dari segi teknologi tinggi dan tenaga, mewujudkan asas kukuh bagi kerjasama jangka masa panjang yang berorientasi hasil,” kata beliau.
Perdana Menteri juga berkata pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan nilai perdagangan dan pelaburan dua hala, malah juga memperkukuh peranan Malaysia dan Turkiye sebagai hab strategik di rantau masing-masing.
Beliau berkata kerjasama tersebut akan dipacu melalui penglibatan aktif sektor swasta, perkongsian industri serta pelaburan bersama yang berpotensi memberikan pulangan ekonomi tinggi kepada kedua-dua negara.
Sementara itu, Anwar berkata kerjasama erat antara kalangan syarikat Malaysia dan Türkiye menjadi pemangkin kepada kepesatan perdagangan, pelaburan serta pemindahan teknologi, sekali gus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi.
“Saya turut mengalu-alukan syarikat Türkiye untuk memperluas serta meningkatkan pelaburan di Malaysia, dengan memanfaatkan ekosistem pelaburan yang stabil, tenaga kerja berkemahiran serta kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.
“Kerajaan MADANI akan memudah cara urusan perniagaan melalui proses yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur, demi memastikan setiap pelaburan yang direalisasikan memberi nilai tambah, limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat kedua-dua negara," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu.
Mesyuarat meja bulat bersama kalangan ketua industri itu dihadiri 46 syarikat Turkiye termasuk penggiat utama seperti Defence Technologies Engineering and Trade Inc (STM), Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) dan ASELSAN, serta tujuh syarikat Malaysia.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Istanbul kira-kira pukul 2 petang (waktu tempatan) dan dijadualkan menyertai beberapa program termasuk sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air, menandakan berakhirnya lawatan rasmi beliau ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang bermula Selasa lepas.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (US$4.92 bilion), menjadikan republik ini sebagai rakan ekonomi penting Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (US$5.28 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial