EKONOMI > BERITA

GLOBALTEC AKAN JANA HASIL PERTAMA DARIPADA USAHA SAMA DALAM GAS METANA ARANG BATU DI INDONESIA TAHUN INI

09/01/2026 09:33 AM

Daripada Nur Aiman Najwa Dzamae

JAKARTA, 8 Jan (Bernama) -- Anak syarikat 70 peratus milik Globaltec Formation Bhd, NuEnergy Gas Ltd, menjangkakan usaha sama dalam gas metana arang batu (CBM) di Indonesia akan menghasilkan pendapatan pertamanya kira-kira US$2 juta (US$1=RM4.05) tahun ini, didorong oleh pengeluaran gas awal daripada Pelan Pembangunan 1 Tanjung Enim (POD 1) di Sumatera Selatan.

Ia susulan pemeteraian perjanjian kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) antara NuEnergy dan PT Beijing Energy Linking (PT BJEL) berpangkalan di China untuk memudahkan peralihan yang lancar daripada jualan gas awal kira-kira satu juta kaki padu standard sehari (MMSCFD) kepada pengeluaran tahap mendatar (plateau) yang lebih tinggi iaitu 25 MMSCFD seperti yang diluluskan di bawah POD 1 Tanjung Enim.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Globaltec Tan Sri Goh Tian Chua berkata selepas 10 tahun penerokaan, Globaltec telah menyiapkan empat telaga perintis dan hasilnya amat menggalakkan.

“Kami menjangkakan pengeluaran pada 2026 menandakan permulaan pendapatan baharu untuk kumpulan ini dengan gas daripada telaga pertama ini menyokong fasa pengkomersialan awal kami,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian PSC di sini hari ini.

Di bawah perjanjian kerjasama itu, NuEnergy akan melantik PT BJEL sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) utama untuk pembangunan PSC Tanjung Enim dan Muralim.

PT BJEL akan membiayai 100 peratus kerja pembangunan lapangan pada harga kontrak dihadkan dengan pembayaran balik akan dibuat melalui jualan gas masa hadapan, tertakluk kepada terma yang akan dimuktamadkan di bawah kontrak EPCC tersebut.

Goh berkata di bawah kerjasama itu, PT BJEL telah menunjukkan komitmen untuk melabur sekitar US$120 juta bagi mempercepatkan aktiviti penggerudian, membuka jalan untuk lebih banyak telaga beroperasi selepas empat telaga yang pertama itu.

“Lebih banyak telaga bermakna lebih banyak pengeluaran dan lebih banyak pengeluaran bermaksud lebih banyak pendapatan untuk kumpulan ini. Dengan kepakaran dan teknologi PT BJEL termasuk penggerudian menegak dan mendatar, kami sedang mencari cara terbaik untuk meningkatkan pengeluaran dengan cekap,” katanya.

Menurut kenyataan dikeluarkan Globaltec, Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia telah meluluskan POD pertama NuEnergy untuk PSC Tanjung Enim di bawah skim pembahagian kontraktor-kerajaan pada nisbah 95:5 yang memberi hasil menguntungkan.

“Kelulusan itu menandakan POD CBM pertama Indonesia, meliputi pembangunan 209 telaga merentasi dua kawasan sasaran untuk mencapai pengeluaran gas sehingga 25 MMSCFD dalam lingkungan kira-kira 33 kilometer persegi, mewakili sekitar 13 peratus daripada jumlah kawasan PSC.

“CBM membakar dengan bahan pencemar udara yang jauh lebih sedikit, seperti sulfur dioksida, nitrogen oksida, serta zarah dan mengeluarkan kurang karbon dioksida setiap unit tenaga berbanding arang batu, menjadikannya bahan api peralihan yang penting,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NuEnergy Lim Beng Hong berkata kerjasama dengan PT BJEL itu menandakan langkah transformasi untuk syarikat dan industri CBM Indonesia yang baharu muncul.

“Perjanjian ini menyediakan kepastian pembiayaan dan keupayaan pelaksanaan yang diperlukan untuk memajukan pelan pembangunan CBM pertama Indonesia daripada jualan gas awal kepada pengeluaran berskala penuh.

“Projek itu juga akan menyokong permintaan tenaga domestik Indonesia yang semakin meningkat dan merealisasikan pelepasan karbon sifar bersih,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan