EKONOMI > BERITA

YAYASAN PENERAJU PERKENAL PAKEJ ASAS PERCEPAT KEMAHIRAN AI BUMIPUTERA

09/01/2026 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Yayasan Peneraju (YP) melengkapkan skim pembiayaannya dengan memperkenalkan pakej asas yang akan ditawarkan mulai esok 9 Jan, 2026, bertujuan mempercepat kemahiran tambahan bumiputera dalam latihan kecerdasan buatan (AI).

Dalam kenyataan hari ini, agensi bank bakat di bawah Kementerian Ekonomi itu menjelaskan pakej asas itu melengkapkan pakej sedia ada YP iaitu perak, emas dan platinum, yang telah ditawarkan sejak Februari 2025.

“Pakej ini dirangka bagi mengurangkan halangan untuk kemasukan bakat dalam memperoleh kemahiran tambahan dan kemahiran baharu. Pakej asas membolehkan pemohon yang layak memohon pembiayaan tanpa faedah sehingga RM5,000, dengan sifar yuran pentadbiran dan tiada bayaran balik sekiranya latihan berjaya diselesaikan.

“Pendekatan ini mendorong penyertaan yang lebih luas memandangkan keperluan kemahiran di tempat kerja terus berkembang,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif YP Ibrahim Sani berkata pakej itu dilancarkan untuk memberi tumpuan kepada pengenalan latihan AI dan merupakan pakej asas pertama YP yang menyokong usaha mempercepat penggunaan AI merentas industri.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan perutusan Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu kajian menganggarkan sekitar 620,000 pekerjaan di Malaysia mungkin terjejas secara ketara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang susulan AI, pendigitalan dan ekonomi hijau sekali gus menjadikan kemahiran tambahan dan kemahiran baharu sebagai keutamaan yang mendesak, katanya.

“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, jika diuruskan dengan baik, AI boleh memberikan manfaat yang lebih inklusif merentas sektor kesihatan, pendidikan, pertanian, perkhidmatan dan pembuatan.

“Bagi merealisasikan manfaat ini pada skala besar, kita perlu meluaskan akses kepada latihan gunaan yang membolehkan rakyat Malaysia menggunakan AI secara berkesan di tempat kerja. Melalui pakej asas ini, YP kini lebih memudahkan lebih ramai bakat bumiputera untuk mula membina kemahiran AI sedia pekerjaan,” katanya.

YP menjelaskan berdasarkan pakej asas, pemohon boleh memilih daripada lebih 100 kursus latihan AI atas permintaan yang ditawarkan oleh 40 institusi pembelajaran dan latihan yang diluluskan (ALTI).

“Senarai ini akan terus berkembang memandangkan lebih banyak latihan berkaitan AI diperkenalkan dalam pasaran. Latihan ini berasaskan rangka kerja Indeks Kesediaan AI (AIRI) yang dibangunkan oleh AI Singapore, membantu peserta mengenal pasti titik permulaan yang sesuai dan berkembang secara teratur.

“Kursus merangkumi pilihan pengenalan dan gunaan seperti asas ‘prompt’ AI dan asas AI generatif, serta laluan berkaitan peranan merentas reka bentuk, awan, pembangunan, data dan keselamatan,” tambahnya.

Pakej asas dibuka kepada pemohon berumur 16 tahun ke atas, termasuk lepasan sekolah, siswa, siswazah, golongan bekerja, serta individu bekerja sendiri atau menganggur.

“Latihan direka agar praktikal dan efisien dari segi masa, dengan tempoh sehingga enam bulan,” menurut YP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan