Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) — Pengukuhan ringgit kepada paras sekitar RM3.16 berbanding dolar Singapura pada masa ini adalah dijangkakan dan tidak memberi kesan ketara terhadap perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Nanthakumar Loganathan berkata pengukuhan itu juga seiring trend peningkatan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak suku ketiga 2025.
Impak pengukuhan itu terhadap aktiviti perdagangan dua hala, bagaimanapun, adalah terhad memandangkan dolar Singapura masih di tahap lebih tinggi berbanding ringgit.
“Peningkatan ringgit berbanding dolar Singapura sebenarnya tidak akan memberi kesan besar kerana pelaburan langsung asing (FDI) dari Singapura yang juga antara rakan dagang terbesar Malaysia, terus menunjukkan aliran meningkat.
“Beberapa pelaburan berskala besar di negeri Johor, khususnya dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), menjadi petunjuk jelas keyakinan pelabur Singapura terhadap prospek ekonomi Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Nanthakumar juga menyifatkan pengukuhan ringgit sebagai berkemungkinan sementara berikutan potensi pengaruh ketidaktentuan ekonomi global ke atas pergerakan mata wang negara dalam tempoh terdekat.
Mengulas sama ada prestasi ringgit itu mencerminkan asas ekonomi Malaysia, beliau berkata trend positif berkenaan didorong oleh pengukuhan ekonomi domestik serta dasar fiskal kerajaan yang berhemah, khususnya dalam pengurusan percukaian dan perbelanjaan bagi mengawal inflasi serta kadar pengangguran.
Dasar kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk pengurusan kadar dasar semalaman (OPR) dalam suasana ketidaktentuan pasaran kewangan global, juga penting bagi kemapanan ekonomi negara.
Pengukuhan ringgit, katanya, dapat merangsang keyakinan peniaga dan pelabur asing susulan kestabilan kadar pertukaran asing serta petunjuk bahawa ekonomi Malaysia di landasan semakin stabil.
Prestasi ringgit juga dapat meningkatkan aliran FDI ke Malaysia, khususnya bagi sektor strategik yang diberi keutamaan kerajaan dengan JS-SEZ dijangka menjadi antara penerima manfaat terbesar
Namun, Nanthakumar berkata sektor eksport mungkin berdepan tekanan kecil jika ringgit terus mengukuh kerana harga barangan Malaysia menjadi lebih mahal di pasaran antarabangsa berbanding negara serantau yang nilai mata wangnya susut.
“Bagaimanapun, Malaysia kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada eksport barangan. Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), khususnya pelancongan, perbankan, pengangkutan dan subsektor berkaitan,” katanya.
Menyentuh strategi import dan eksport dengan Singapura, beliau berkata perdagangan dua hala dijangka kekal kukuh kerana produk Malaysia berdaya saing dan secara relatifnya murah di pasaran republik itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor Samsudin Ismail berkata pengukuhan nilai ringgit perlu disokong oleh asas ekonomi kukuh dan mampan bagi memastikan kesannya dapat dirasai oleh rakyat, khususnya dalam menangani kos sara hidup yang kian mencabar.
Pada masa sama, pengukuhan ringgit juga memberi makna jika secara konsisten dan bukan sementara akibat faktor luaran semata-mata.
“Jika bersifat sementara, kita perlu menilai faktor asas lain kerana kenaikan nilai mata wang semata-mata belum tentu mampu melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang sepatutnya.
“Dari sudut keyakinan pasaran, pengukuhan ringgit lazimnya mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur, jangkaan pertumbuhan ekonomi lebih stabil serta persepsi dasar fiskal dan kewangan negara di haluan lebih meyakinkan,” katanya.
Samsudin berkata turun naik mata wang juga penting dalam strategi perniagaan, terutamanya bagi usahawan bumiputera dalam perdagangan rentas sempadan.
Pengukuhan ringgit akan memberi manfaat sebenar sekiranya disokong oleh pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan serta produktiviti dan kesannya dapat dirasai oleh rakyat dalam menangani kos sara hidup, katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial