EKONOMI > BERITA

RHB LANCAR RANGKA KERJA UNTUK SOKONG SYARIKAT MEMBUAT PERALIHAN

15/01/2026 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- RHB Banking Group telah melancarkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan dan  Mampan (STFF) untuk menyokong pelanggan pada setiap peringkat transformasi kelestarian mereka.

Bank itu berkata STFF adalah sejajar dengan amalan terbaik global termasuk prinsip Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) dan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan, dan disahkan oleh Pendapat Pihak Kedua (SPO), Sustainalytics yang bebas.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata rangka kerja itu berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik dalam mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon. 

“Dengan menyediakan kriteria yang jelas kepada pembiayaan dan pelaburan yang mampan, kami merapatkan jurang untuk sektor yang sukar (berkos tinggi dalam membuat peralihan), memastikan mereka mempunyai sumber yang diperlukan untuk beralih.

“Rangka kerja ini bukan sahaja akan membantu kami mengurangkan risiko iklim jangka panjang tetapi turut memperkasakan pelanggan kami untuk berinovasi, memastikan peralihan kepada masa depan yang mampan adalah inklusif dan berdaya maju dari segi ekonomi,” katanya melalui satu kenyataan.

Kebanyakan syarikat, terutamanya dalam sektor pelepasan tinggi, yang berkos mahal untuk membuat peralihan dan amat intensif sumber terpaksa melalui kerumitan untuk beralih ke arah ekonomi rendah karbon disebabkan oleh opsyen pembiayaan yang berpecah-belah. 

Ekoran itu, bank itu berkata STFF membantu menangani perkara berkenaan dengan menawarkan rangka kerja yang jelas, konsisten dan mudah diakses untuk korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggembleng modal untuk ke arah aktiviti lestari dan peralihan yang layak. 

Mohd Rashid berkata rangka kerja itu menjadikan laluan kemampanan lebih mudah dicapai untuk pelanggannya.

“Peranan kami bukan sahaja untuk menyediakan pembiayaan mampan dan peralihan, tetapi juga menjadi rakan kongsi yang bermatlamat dalam menyokong mereka ke arah pelepasan karbon bersih-sifar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan