KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.7 peratus pada suku keempat 2025 (S4 2025), disokong oleh prestasi kukuh dalam sektor ekonomi utama dan permintaan domestik yang teguh, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku keempat dipacu oleh pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 5.4 peratus.
“Sektor pembuatan berkembang 6.0 peratus (S3 2025: 4.1 peratus), sektor pembinaan kekal kukuh pada 11.9 peratus, sektor pertanian juga mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.1 peratus, dan sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan kenaikan 1.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut DOSM, anggaran awalan bagi pertumbuhan suku keempat pada 5.7 peratus menunjukkan ekonomi meningkat daripada 5.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
“Pertumbuhan 5.7 peratus adalah tertinggi sejak suku kedua 2024 (S2 2024: 5.9 peratus),” katanya.
DOSM berkata bagi keseluruhan 2025, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 4.9 peratus, iaitu menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata pengukuhan berterusan dalam permintaan domestik turut menyokong pertumbuhan ekonomi pada suku keempat.
Beliau menjelaskan bahawa pengembangan aktiviti pelancongan pada cuti umum dan cuti persekolahan, peningkatan perbelanjaan ke atas barangan berkaitan persekolahan susulan perubahan dalam kalender akademik 2026.
Selain itu, katanya, perbelanjaan sempena perayaan Deepavali dan Krismas, keadaan pasaran buruh yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan menyumbang kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah, walaupun berdepan persekitaran luaran yang tidak menentu.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, telah menjadi tuan rumah kepada ratusan mesyuarat, persidangan dan pelbagai acara antarabangsa berskala besar di bandar-bandar utama negara, manakala pilihan raya negeri Sabah turut berlangsung pada suku keempat 2025.
“Ia secara langsung turut membantu merancakkan kegiatan ekonomi pada suku ini,” katanya.
Berdasarkan petunjuk ekonomi berkaitan, DOSM berkata pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang kukuh pada Oktober iaitu sebanyak enam peratus pada dan 4.3 peratus pada November mencerminkan pengukuhan aktiviti perindustrian.
“Ia khususnya dalam sektor pembuatan yang berkembang sebanyak 6.5 peratus pada Oktober dan 4.9 peratus pada November, didorong oleh prestasi industri berorientasi eksport,” katanya.
Eksport mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 15.7 peratus pada Oktober sebelum menyederhana kepada 7.0 peratus pada November 2025, manakala import meningkat daripada 10 peratus pada Oktober kepada 15.8 peratus pada November.
Seiring dengan perkembangan ini, DOSM berkata jumlah dagangan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.0 peratus pada Oktober dan 11.1 peratus pada November 2025.
Ia menganggarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sepanjang tahun 2025 Malaysia berkembang sebanyak 4.9 peratus berbanding 5.1 peratus pada tahun sebelumnya, dengan semua sektor mencatatkan pertumbuhan yang positif.
“Sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan 5.1 peratus pada 2025, dengan sektor pembuatan terus mencatatkan pertumbuhan yang stabil pada 4.5 peratus, sektor pembinaan mengekalkan pertumbuhan dua digit pada 12.4 peratus, sektor pertanian menyederhana kepada 2.2 peratus, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.5 peratus.
“Berikutan anggaran awal ini, data KDNK awal, yang akan menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi bagi suku keempat 2025, akan diterbitkan pada 13 Feb, 2026,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial