KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) --TH Plantations Bhd (THP) dan Cenergi SEA Bhd (Cenergi) memulakan operasi Loji Jana Kuasa Biogas Cenergi Lawiang 1.2 megawatt (MW) yang merupakan satu perkembangan penting untuk memajukan penyelesaian sisa ke tenaga dalam sektor perladangan.
Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, Cenergi Lawiang Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat usaha sama di antara anak syarikat perladangan Lembaga Tabung Haji, THP dengan Cenergi yang melaksanakan projek ini.
Cenergi merupakan anak syarikat UEM Lestra Bhd.
Majlis pengoperasian hari ini secara rasmi menandakan siapnya loji jana kuasa berkenaan walaupun ia sudah pun beroperasi pada 26 Dis, 2025, menurut kenyataan itu.
Katanya, loji jana kuasa biogas ini menukar efluen kilang minyak sawit kepada elektrik yang bersih dan boleh diperbaharui melalui pemerangkapan dan penggunaan metana.
"Pada kapasiti penuh, kemudahan ini dapat menjana tenaga hijau yang cukup bagi membekalkan kuasa kepada kira-kira 1,500 rumah setiap tahun dan mengurangkan sehingga 20,000 tan metrik pelepasan karbon dioksida setiap tahun.
"Selain itu, ia memberi impak alam sekitar yang setara dengan mengeluarkan lebih daripada 4,000 kenderaan dari jalan raya," menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) THP Datuk Borhan Bachi berkata projek ini selaras dengan strategi kelestarian kumpulan untuk mengukuhkan amalan pengurusan sisa selain mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di seluruh operasinya.
"Kemudahan biogas ini menunjukkan bagaimana operasi perladangan dapat memainkan peranan aktif dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia sambil meningkatkan kecekapan operasi melalui penerapan teknologi tenaga boleh baharu," katanya.
CEO Kumpulan Cenergi, Kwok Yew Hoe berkata loji ini membuktikan melalui inovasi dan kerjasama, cabaran alam sekitar boleh diubah menjadi satu nilai jangka panjang.
"Cenergi mengendalikan 24 loji biogas dengan kapasiti terpasang keseluruhan sebanyak 41.9 MW termasuk dengan permulaan operasi loji Cenergi Lawiang," katanya.
Elektrik yang dijana akan dibekalkan kepada grid nasional di bawah skim tarif galakan (FiT) yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
Ia menyumbang kepada agenda peralihan tenaga Malaysia selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara dan hasrat negara untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial