KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) menukar jawatan ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Benyamin Ismail kepada pengurus besar berkuat kuasa hari ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan perniagaan penerbangan AirAsia Group di bawah AAX.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata Benyamin, 48, yang menyertai AirAsia pada Mac 2010 berkhidmat sebagai CEO AAX sejak 1 Sept, 2015.
Selepas penstrukturan semula hutang yang berjaya, AAX mengekalkan rekod keuntungan suku tahunan di bawah kepimpinannya yang turut memainkan peranan penting dalam pemulihan syarikat daripada status Nota Amalan 17 (PN17), kata syarikat itu.
"Setakat ini, syarikat kekal membuat keuntungan dalam operasi semasanya.
"Dalam peranan baharunya sebagai pengurus besar, Benyamin akan terus menjadi pengurus yang bertanggungjawab bagi AAX dalam mengendalikan operasi harian sebagai syarikat penerbangan," tambahnya.
AAX berkata Benyamin menawarkan kepakaran industri yang luas diperoleh melalui pelbagai peranan dalam sektor kewangan apabila beliau menghabiskan masa selama lapan tahun dalam perbankan pelaburan dengan memberi tumpuan kepada pasaran modal hutang.
Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, AAX juga mengumumkan pelantikan Tharumalingam Kanagalingam sebagai CEO kumpulan baharunya yang juga berkuat kuasa 19 Jan, 2026.
Tharumalingam yang lebih dikenali sebagai Bo Lingam, menyertai AirAsia pada 2001 dengan memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju strategik serta rangka kerja operasi AirAsia Aviation Group, kata syarikat itu.
Beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan sepanjang berkhidmat termasuk pengurus kanan perolehan dan bekalan, pengarah perkhidmatan tetamu serantau, ketua operasi dan perancangan serta ketua pegawai operasi kumpulan.
Tharumalingam pernah memegang jawatan presiden dan ketua pegawai operasi kumpulan, timbalan CEO kumpulan penerbangan dan presiden kumpulan penerbangan.
Sebagai CEO kumpulan, Tharumalingam akan terus memacu evolusi syarikat penerbangan dengan memberi keutamaan kepada kecemerlangan operasi, mengoptimumkan proses dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
Beliau juga akan mengukuhkan kehadiran AirAsia di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja serta mengawasi penubuhan syarikat penerbangan baharu dalam kumpulan itu, tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial