EKONOMI > BERITA

SBS NEXUS DIBUKA TIDAK BERUBAH KEPADA 25 SEN KETIKA MULA DISENARAI DI PASARAN ACE

20/01/2026 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Syarikat penjenamaan dan pemasaran SBS Nexus Bhd mula disenaraikan tidak berubah di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.

Pada loceng pembukaan, kaunter itu menyaksikan 5.30 juta saham bertukar tangan.

Syarikat itu mengumpul RM30.63 juta daripada IPO berkenaan untuk digunakan bagi ibu pejabat baharunya (RM7.10 juta), pengembangan perniagaan (RM7.25 juta), penjenamaan dan pemasaran (RM0.74 juta), pembayaran balik hutang (RM6.0 juta), modal kerja (RM5.04 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM4.50 juta).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasinya Warren Cheng berkata kumpulan itu tidak terlalu menekankan kepada prestasi harga saham pada hari pertama penyenaraian, sambil menyifatkannya sebagai faktor jangka pendek.

"Pihak pengurusan kekal yakin dengan pelan jangka panjang dan asas perniagaan kumpulan," katanya pada sidang akhbar sempena penyenaraian itu.

Menurutnya SBS Nexus kekal optimis terhadap pertumbuhan dalam tempoh dua tahun akan datang, disokong oleh perkembangan pesat industri penjenamaan dan pemasaran.

Cheng berkata keutamaan kumpulan itu sebagai syarikat tersenarai adalah perkembangan operasi, terutama bagi penubuhan ibu pejabat baharu untuk menyokong pertumbuhan.

"Pejabat baharu ini adalah keutamaan memandangkan premis kami pada masa ini mengehadkan keupayaan kami untuk berkembang. Ruang yang lebih besar akan membolehkan kami mengembangkan tenaga kerja dan menjangkau lebih ramai pelanggan," katanya.

Cheng berkata SBS Nexus kekal optimis mengenai pertumbuhan dalam tempoh dua tahun akan datang, disokong oleh industri penjenamaan dan pemasaran yang berkembang pesat.

"Permintaan terhadap perkhidmatan penjenamaan dan pemasaran terus meningkat, terutama dalam kalangan usahawan yang semakin tertumpu kepada penjenamaan peribadi dan kebolehlihatan pasaran," katanya.

Cheng berkata kumpulan itu menyasarkan untuk meluaskan asas pelanggan melangkaui segmen tradisinya di samping meneroka peluang pasaran dan sektor baharu.

"Kami berminat untuk meneroka pasaran baharu termasuk segmen kerajaan bagi memenuhi keperluan dan prosedur kawal selia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Wong Chun Mun berkata kumpulan itu melihat peningkatan permintaan daripada industri berkaitan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pelanggan daripada sektor seperti makanan dan minuman, hospitaliti, runcit, fesyen dan perkhidmatan pelancongan telah mula mendapatkan khidmat kumpulan itu bagi kempen pemasaran dan penjenamaan bagi menarik pelancong luar negara,” katanya.

Wong berkata permintaan terhadap pemasaran yang dipacu oleh sektor pelancongan dijangka berterusan dalam jangka panjang berikutan perniagaan terus membuat pelaburan dalam kempen bagi menarik pelancong untuk datang semula.

Penyenaraian SBS Nexus dilaksanakan susulan minat pelabur yang tinggi, dengan permohonan daripada orang awam Malaysia terlebih langgan lebih 22 kali ganda.

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan