KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkukuh keperluan kawal selia untuk semua produk Insurans Perubatan dan Kesihatan (MHIT) berikutan pelancaran pelan MHIT asas yang diseragamkan, bertujuan untuk menambah baik perlindungan pengguna dan memastikan kemampanan premium jangka panjang, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata rangka kerja kawal selia yang dipertingkatkan akan menyelaraskan penawaran pasaran dengan prinsip pelan MHIT asas, memperkukuh kemampuan dan ketelusan merentasi ekosistem pembiayaan penjagaan kesihatan swasta.
Amir Hamzah berkata pelan MHIT asas itu akan ditawarkan secara sukarela, dijadual untuk pelaksanaan pertama pada separuh kedua 2026 dengan pelancaran penuh disasarkan pada awal 2027, bertepatan dengan langkah interim BNM mengenai penetapan semula harga insurans perubatan yang telah berakhir.
“Apa yang penting, pemegang polisi yang menghadapi penetapan semula harga akan mempunyai pilihan untuk beralih dengan lancar kepada pelan asas ini dengan penanggung insurans semasa mereka, tanpa pengunderaitan perubatan baharu.
“Ini hanyalah permulaan. Kita perlu bersifat dinamik dan boleh menyesuaikan diri dalam mematangkan pelan MHIT asas ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang serta kekal realistik mengenai apa yang mampu dicapai pada hari pertama,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad here today.
Turut hadir ialah Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Mengenai langkah fiskal, Amir Hamzah berkata kerajaan sedang memperluaskan sokongannya untuk inisiatif penjagaan kesihatan komuniti menerusi insentif cukai diumumkan di bawah Belanjawan 2026.
Beliau berkata rangka kerja pengecualian cukai sedia ada untuk hospital bukan berasaskan keuntungan diperkenalkan pada 2024 telah pun memberi manfaat kepada empat institusi dan kini akan diperluaskan untuk membolehkan hospital swasta mewujudkan dana kebajikan bebas cukai untuk pesakit yang kurang bernasib baik, tertakluk kepada garis panduan.
“Ini menggalakkan penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan kerja yang berimpak seperti program ‘Life Renewed’ dijalankan oleh IHH yang telah menaja pembedahan kritikal untuk lebih 2,000 pesakit.
“Kami sedang memuktamadkan butiran operasi dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia menjelang suku pertama 2026 dan saya berharap semua hospital utama akan mengambil mekanisme ini supaya kami dapat memainkan peranan untuk berkhidmat kepada golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial