EKONOMI > BERITA

LEBIH 40 DASAR BAHARU, 80 AKTA DIPINDA DALAM TIGA TAHUN BAGI REFORMASI EKONOMI

23/01/2026 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Lebih daripada 40 dasar dan inisiatif utama yang baharu  diperkenalkan dan lebih daripada 80 akta dipinda termasuk akta baharu yang digubal sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan MADANI.

Langkah ini bagi melaksanakan janji reformasi ekonomi kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

Kementerian Ekonomi berkata kerajaan turut melaksanakan lebih 50 projek berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dan berfasa, dengan matlamat utama untuk menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara terangkum dan mampan. 

“Pelbagai reformasi yang dilaksanakan tersebut sehingga kini menunjukkan kejayaan secara makro dan juga menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan isi rumah yang boleh dirasai oleh rakyat,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis dikeluarkan dalam laman sesawang rasmi Parlimen hari ini.

Kementerian berkenaan menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu sejauh mana janji reformasi ekonomi kerajaan ditunaikan memandangkan pendapatan rakyat tidak meningkat seiring kenaikan kos hidup dan indikator sebenar kejayaan yang boleh dibuktikan.

Kementerian Ekonomi juga berkata berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) Tahun 2024, pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM9,155 pada 2024 daripada RM8,479 pada 2022.

Kadar kemiskinan mutlak juga berkurangan kepada 5.1 peratus daripada 6.2 peratus dalam tempoh yang sama.

“Gabungan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi yang terkawal dan pasaran buruh yang stabil serta peningkatan pendapatan dan pengurangan kemiskinan merupakan indikator yang membuktikan reformasi ekonomi mula menampakkan hasil,” jelas kementerian itu lagi.

Kementerian berkenaan menegaskan kejayaan reformasi ekonomi kerajaan diukur bukan sahaja melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tetapi melalui gabungan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Selain itu inflasi yang terkawal, pasaran buruh yang stabil, peningkatan pampasan pekerja serta pengurangan beban kos sara hidup, selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan aspirasi Ekonomi MADANI.

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan