EKONOMI > BERITA

MANAGEENGINE MAHU BUKA PUSAT DATA DI ASEAN TAHUN INI, PEJABAT SERANTAU DI MALAYSIA

25/01/2026 11:59 AM

Daripada Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

CHENNAI, 25 Jan (Bernama) -- ManageEngine yang juga unit teknologi maklumat (IT) Zoho Corporation, merancang untuk membuka sebuah pusat data di rantau ASEAN pada tahun ini.

Naib Presiden Serantau Asia Pasifik (APAC) Arun Kumar berkata ManageEngine telah mengendalikan 20 pusat data di serata Amerika Syarikat, Eropah, India, Australia, Jepun dan Timur Tengah.

“Kami akan meninjau sebuah negara yang menepati semua keperluan di ASEAN. (Pada masa sama) kami juga berkemungkinan membuka pusat data di sebahagian besar ekonomi utama memandangkan aspek kedaulatan data menjadi amat kritikal.

“Jika organisasi dan infrastruktur penting perlu menggunakan pengkomputeran awan, kedaulatan data menjadi perkara wajib yang perlu diteliti,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan ManageEngine Day 2026 di sini.

Arun berkata pihaknya juga merancang untuk membuka sebuah pejabat serantau di Malaysia yang berperanan sebagai hab latihan dan teknikal bagi melatih bakat di rantau ASEAN tidak lama lagi.

Beliau menyifatkan Malaysia menawarkan kelebihan dari segi tenaga kerja muda serta celik IT dan bahasa.

“Atas alasan itu, kami turut menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan dari Indonesia, Singapura dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, lebih daripada 750 perusahaan Malaysia menggunakan produk-produk ManageEngine yang merangkumi kalangan agensi-agensi kerajaan, bank-bank, institusi kewangan, minyak dan gas serta syarikat pengeluaran, sekali gus menjadikan Malaysia antara tiga pasaran dengan pertumbuhan pesat bagi syarikat itu di ASEAN.

Sehubungan itu, beliau berpendapat langkah membuka sebuah pejabat di Malaysia akan memastikan syarikat berada dalam lokasi berhampiran pelanggan serta dapat memberi khidmat lebih baik dan memanfaatkan produk yang ditawarkan.

“Inilah antara alasan utama kami mahu membuka sebuah pejabat di Malaysia yang bukan setakat dari segi kepentingan pemasaran tetapi dapat berkembang serta menyokong negara-negara lain,” katanya.

Pada masa ini, ManageEngine telah membuka pejabat serantau di Thailand, Vietnam dan Singapura.

 

Prospek Landskap Teknologi Global, ASEAN

Selain itu, Arun berkata terdapat keperluan mendesak bagi transformasi digital di serata ASEAN ketika kerajaan di negara-negara anggotanya secara agresif memacu inisiatif-insiatif digital dengan aspek pengembangan mengatasi keseluruhan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara-negara berkenaan.

Bagaimanapun pada masa sama, beliau berkata langkah yang seiringan dengan perubahan, kekal menjadi satu cabaran berikutan mekanisme keselamatan yang terasing serta pelaburan keselamatan yang terhad oleh kebanyakan syarikat.

“Pada hari ini, seorang pelanggan berkemungkinan bermula dengan hanya satu atau dua produk, tetapi akan bertindak membeli lebih apabila dapat melihat nilainya dari segi menyelesaikan masalah perniagaan. Ini akan membawa kepada pendekatan yang lebih sekata.

“Oleh itu, sebaik mereka bertindak sedemikian yang melibatkan model pengurusan IT secara sepadu, ini dapat menyelesaikan beberapa masalah utama seperti aspek automasi lebih baik serta kecekapan yang ketara. Kelancaran aliran data akan membantu mereka dari segi membuat keputusan yang lebih bermaklumat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ManageEngine Rajesh Ganesan berkata usaha pembangunan bakat baharu di peringkat global kekal menjadi cabaran utama agar seiringan dengan permintaan pasaran dalam landskap teknologi yang pesat berubah.

Sehubungan itu, beliau berkata perusahaan perlu memahami keperluan pelanggan masing-masing dan sejajar dengan model perniagaan serta menawarkan mekanisme yang tepat untuk pelanggan.

“Dalam landskap teknologi, anda perlu bersedia menerima gangguan yang kerap...perlu menjangkakan kemungkinan itu dan bersedia untuk meningkatkan kemahiran dan menambah kemahiran.

“Perkara ini perlu diterapkan oleh usahawan dan memerlukan mereka mendapatkan bakat serta memastikan pengetahuan mereka terus dipupuk,” katanya.

Beribu pejabat di Chennai, India, ManageEngine bertapak di lebih daripada 30 lokasi di peringkat global dan menyediakan perkhidmatan untuk organisasi pelbagai industri di lebih 30 negara daripada perusahaan kecil dan sederhana sehingga perusahaan berskala besar yang tersenarai dalam Fortune 500.

ManageEngine menawarkan lebih daripada 60 produk dan peralatan, termasuk pengurusan identiti dan akses, pengurusan perkhidmatan perusahaan, pengurusan termasuk pengurusan akhir dan keselamatan bersepadu, pengurusan operasi IT dan maklumat keselamatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan