PASIR GUDANG, 26 Jan (Bernama) -- Malaysia sedang memperkukuh kepimpinannya dalam penerbangan mampan dan peralihan tenaga melalui pelancaran loji bahan api penerbangan mampan (SAF) berskala komersial pertama negara di Tanjung Langsat hari ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelancaran itu sejajar dengan Pelan Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia (MADB) yang menggariskan pelan tindakan terperinci untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor penerbangan.
“Pelan tindakan ini memberi tumpuan kepada menambah baik kecekapan, mempertingkat amalan kemampanan dan menggalakkan SAF sebagai bahan api penerbangan masa depan. Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), sasaran awal mengadunkan SAF sebanyak satu peratus adalah penting untuk mewujudkan permintaan dan menyokong pertumbuhan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian loji SAF pertama EcoCeres di Malaysia di sini hari ini.
Noraini berkata loji SAF oleh EcoCeres Renewable Fuel Sdn Bhd mencerminkan strategi Malaysia untuk menempatkan sektor komoditinya sebagai pemain nasional yang bertanggungjawab, dengan menukar biojisim berasaskan sisa yang diperakui kepada produk bernilai tinggi.
“Inisiatif ini mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, meningkatkan aktiviti hiliran, menggalakkan kemampanan dan ketelusan, serta memperkukuh daya saing jangka panjang sektor perladangan dan komoditi negara,” katanya.
Loji itu mempunyai lesen untuk kapasiti tahunan sebanyak 350,000 tan dan akan menghasilkan SAF, diesel boleh baharu dan produk berasaskan bio termaju yang lain bagi kegunaan domestik dan eksport.
Noraini berkata projek itu juga akan mewujudkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam membekalkan biojisim, logistik dan perkhidmatan industri, sekali gus menyokong pertumbuhan negara yang inklusif.
Beliau menambah loji itu juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar SAF terkemuka di ASEAN sambil memanfaatkan potensi penuh sumber biojisim tempatan.
Menteri itu menekankan bahawa inisiatif berkenaan menunjukkan bagaimana Malaysia menyelaraskan dasar negara, pembangunan ekonomi dan matlamat alam sekitar untuk membina ekonomi masa depan yang mampan, berdaya saing dan rendah karbon.
EcoCeres memulakan pembinaan loji pengeluaran biobahan api keduanya di Johor, Malaysia pada Jun 2023 dan mula beroperasi pada Oktober 2025. Kemudahan berteknologi tinggi itu meliputi keluasan 105,830 meter persegi dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 420,000 tan setahun untuk SAF, minyak sayuran terhidrorawat (HVO) dan nafta boleh baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial