KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Malaysia mencatatkan jualan eksport sebanyak RM45.4 bilion daripada hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negara pada 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata jualan eksport tersebut melibatkan sektor gas asli cecair (LNG), minyak sawit, barangan elektrik dan elektonik.
“Kita telah menjana jualan eksport itu daripada hubungan (perdagangan) dengan negara-negara seperti United Kingdom, Thailand, Rusia, Itali, Perancis, Brazil, Korea Selatan, Ethiopia, Kenya, Afrika Selatan dan sebagainya.
“(Sektor) yang kian meningkat terutamanya (ialah) semikonduktor, barangan aeroangkasa, perabot dan bahan-bahan lain,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai prestasi dan nilai perdagangan bagi tahun 2025 serta hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negara sepanjang tempoh tersebut yang menyumbang kepada peningkatan eksport Malaysia.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia berjaya merekodkan jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM3.061 trilion pada 2025 dan menangani cabaran yang tidak menentu daripada pelbagai langkah oleh Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik.
“Kita juga mencatatkan lebihan dagangan yang meningkat 9.2 peratus, iaitu sebanyak RM151.80 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Pasaran baharu termasuk Kyrgyzstan, (menunjukkan) peningkatan 225.8 peratus, diikuti Yaman, Tanzania, Togo, Uzbekistan, Angola, Algeria, Nigeria, Puerto Rico, Kenya dan Maghribi.
“Saya sebut hal ini kerana ini adalah pasaran baharu yang memungkinkan kita mengambil sikap lebih terbuka dan mendapat peluang dalam perdagangan dengan pasaran baharu,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan akan meneliti semula kos perniagaan dan perkhidmatan yang dicaj oleh pihak utiliti terhadap pelabur supaya kos yang dikenakan dianggap munasabah.
“Walaupun dari sudut perdagangan, peningkatan itu sangat memberangsangkan, (namun) ia tidak menjejaskan dari aspek kenaikan kos.
“Kita harus ambil sikap terbuka dan andai kata beberapa kos perkhidmatan (kenaikan) berlaku, hal ini akan diberikan perhatian khas oleh kementerian,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial