EKONOMI > BERITA

BANK MUAMALAT DAPAT ANUGERAH KECEMERLANGAN BANK ISLAM TERULUNG DUNIA 2026

27/01/2026 04:25 PM

 

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd telah mengukir nama di pentas global selepas menerima "Anugerah Kecemerlangan Bank Islam Terulung Dunia 2026" yang berprestij di London, United Kingdom.

Bank itu melalui satu kenyataan memberitahu anugerah tersebut mencerminkan perkembangan positif kedudukan Bank Muamalat di peringkat antarabangsa, tadbir urus yang berdisplin dan kepimpinan berterusan dalam memajukan kewangan Islam yang mampan dan inklusif.

Anugerah itu disampaikan semasa persidangan peringkat tinggi mengenai "ASEAN di Persimpangan Geopolitik 2026", forum tertutup yang anjuran bersama dengan London School of Economics, Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN. Acara itu menghimpunkan pemimpin dunia, penggubal dasar kanan termasuk tokoh-tokoh industri global untuk membincangkan pengaruh strategik ASEAN di tengah-tengah perubahan landskap geopolitik dan ekonomi.

Anugerah itu telah diterima oleh Pengerusi Bank Muamalat Malaysia, Tan Sri Tajuddin Atan, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairul Kamarudin.

Pemilihan Bank Muamalat bagi anugerah global ini mencerminkan prestasi kewangan yang konsisten, tadbir urus Syariah yang kukuh serta pendekatan inovatif dalam penyediaan penyelesaian kewangan Islam, khususnya dalam memperkukuhkan amalan kemampanan dan memperkasa komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. "Panel penilai turut mengiktiraf kepimpinan bank dalam penerapan prinsip ESG, kemajuan agenda pendigitalan serta sumbangan bermakna terhadap pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Khairul merakamkan penghargaan atas pengiktirafan itu, menekankan usaha kolektif tenaga kerja Bank Muamalat, disokong oleh pelaksanaan pengurusan yang berdisiplin dan pengawasan lembaga pengarah yang mantap.

"Pengiktirafan global yang berprestij ini mengesahkan komitmen teguh Bank Muamalat terhadap kecemerlangan, amanah dan inovasi. Selain mengiktiraf bank itu sebagai sebuah institusi, anugerah ini juga mencerminkan kepimpinan serta kredibiliti Malaysia dalam kewangan Islam di pentas global.

“Ia merupakan hasil dedikasi warga kerja kami yang disokong oleh tadbir urus strategik Lembaga Pengarah, dalam usaha untuk terus memperkasa penyediaan penyelesaian kewangan yang bertanggungjawab, inklusif dan mampan, seiring dengan aspirasi kami untuk menjadi The Strongest Islamic Bank in Malaysia.”

Beliau menambah bahawa pengiktirafan ini mengukuhkan lagi keazaman Bank Muamalat untuk mempercepatkan agenda transformasinya, dengan menegaskan bahawa pihak bank akan terus berinovasi, memperluas keupayaan dan memperjuangkan kewangan berteraskan nilai. “Pengiktirafan ini mendorong kami untuk melangkaui batasan, memperluas impak serta terus meneguhkan kdudukan Malaysia dalam ekosistem kewangan Islam global,” katanya lagi.

Anugerah ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam trajektori pertumbuhan Bank Muamalat sebagai sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya. Ia mengukuhkan lagi profil antarabangsa bank serta kepimpinannya dalam mempromosikan kewangan Islam yang berteraskan integriti, daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan