EKONOMI > BERITA

BS FRESHMART SASAR RM1.25 BILION PENDAPATAN TAHUN INI

28/01/2026 03:14 PM

KUALA SELANGOR, 28 Jan (Bernama) -- Syarikat Pasaraya BSK Sdn Bhd (BS Freshmart) menyasarkan hasil pendapatan kira-kira RM1.25 bilion menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusan BS Freshmart Mohammad Rasul Razuan berkata sasaran itu susulan pencapaian pendapatan RM1 bilion pada tahun lepas, disokong sambutan masyarakat terhadap jenama berkenaan.

Beliau berkata syarikat melabur lebih RM30 juta bagi pembukaan lima cawangan baharu di Pahang, Kelantan dan Selangor, termasuk cawangan baharu di Puncak Alam yang dibuka hari ini yang melibatkan pelaburan berjumlah RM6.9 juta.

“Peluasan ini memastikan masyarakat mendapat makanan, bahan segar, termasuk ikan terus dari jeti nelayan milik kami, sekali gus memudahkan akses barangan berkualiti,” katanya selepas majlis perasmian pembukaan cawangan berkenaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid hari ini.

Mengulas prestasi jualan, Mohammad Rasul berkata program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan menyumbang kepada peningkatan jualan pasaraya berkenaan sekitar tujuh peratus.

Menerusi program berkenaan, ia turut meningkatkan penyertaan produk tempatan ke pasaraya BS Freshmart sehingga kira-kira 30 peratus, sekali gus membantu menjana pendapatan usahawan tempatan, kata beliau. 

Sehingga kini, BS Freshmart mempunyai 26 cawangan yang beroperasi di beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan