EKONOMI > BERITA

TUMPUAN GLOBAL TERHADAP KEWANGAN MAMPAN SEIRING PERTUMBUHAN PUSAT DATA - MOODY'S

28/01/2026 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Tumpuan global terhadap kewangan mampan dijangka kekal kukuh tahun ini, didorong pertumbuhan pesat pusat data, menurut Moody’s Ratings.

Naib Presiden Kanan Kewangan Mampan dan Ketua Penilaian Asia Pasifik (APAC) Moody’s Ratings Jeffrey Lee berkata lebih banyak rangka kerja bon berlabel dijangka memasukkan projek pusat data dalam skop pembiayaan mereka, sekali gus menandakan penerimaan lebih meluas kewangan mampan dalam sektor infrastruktur teknologi.

“Saya menjangkakan kita akan melihat peningkatan pembiayaan pusat data menerusi instrumen berlabel, selain struktur pembiayaan inovatif lain dalam beberapa tahun akan datang.

“Lonjakan permintaan global terhadap pusat data memerlukan pelaburan modal yang besar bagi menyokong pendigitalan yang semakin pesat, sekali gus mewujudkan saluran peluang pembiayaan mampan yang semakin berkembang,” katanya pada sesi Sustainable Finance Credit and Sustainable Bond Outlook 2026 – edisi Asia Pasifik, yang diadakan secara maya.

Beliau berkata penggunaan elektrik oleh pusat data diunjurkan mencecah sekitar 600 terawatt, meningkat kira-kira 20 peratus berbanding 2024.

Seiring perkembangan tersebut, pihak penerbit bon dilihat semakin meluaskan rangka kerja bon berlabel mereka dengan memasukkan pelaburan berkaitan pusat data, khususnya projek yang menumpukan kecekapan tenaga.

Lee berkata meskipun syarikat korporat kekal sebagai penerbit utama dalam segmen ini, Moody’s menjangkakan lebih banyak entiti akan memasuki pasaran tersebut.

Sebagai contoh, GDS Holdings Ltd di China telah mempertingkatkan pendedahan maklumat menerusi penilaian pelepasan sifar bersih, sekali gus meningkatkan ketelusan pelan peralihan syarikat itu.

Di Amerika Syarikat, Equinix memperkenalkan rangka kerja pembiayaan hijau yang mengutamakan pusat data cekap tenaga, manakala di Asia, DigitalEdge (Singapore) Holdings Pte Ltd turut menggabungkan projek pusat data dalam pendekatan pembiayaan mampannya.

Selain itu, penerbit di Eropah juga sedang meneroka struktur pembiayaan berkait kecekapan tenaga bagi infrastruktur digital.

Lee berkata meskipun syarikat korporat kekal sebagai penerbit utama dalam segmen ini, Moody’s menjangkakan lebih banyak entiti akan memasuki pasaran tersebut.

Minggu lepas, Moody’s Ratings mengunjurkan penerbitan bon mampan global dijangka mencecah sekitar US$900 bilion (US$1 = RM3.92) pada 2026.

Mengulas unjuran itu, Lee berkata penerbitan global bon mampan tahun ini masih dijangka berada di bawah paras tertinggi yang dicatatkan antara 2021 hingga 2024.

“Salah satu faktor utama ialah perubahan sentimen terhadap kemampanan di beberapa rantau, selain persekitaran makroekonomi dan geopolitik yang lebih mencabar,” katanya sambil menambah bahawa bon hijau khususnya dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan penerbitan bon mampan.

Bon mampan merangkumi bon hijau, sosial, kemampanan dan peralihan, yang diterbitkan bagi membiayai projek berteraskan objektif alam sekitar dan sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan