EKONOMI > BERITA

RAM RATINGS NAIKKAN PENARAFAN BON YTL CORP, YTL POWER KEPADA AAA

28/01/2026 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menaikkan penarafan jangka panjang program hutang YTL Corporation Bhd (YTL Corp) kepada AAA, susulan peningkatan berterusan prestasi operasi, keuntungan dan profil kewangan kumpulan itu.

RAM Ratings dalam satu kenyataan hari ini berkata tinjauan ke atas kemudahan tersebut telah disemak semula kepada stabil daripada positif, manakala penarafan jangka pendek kekal pada P1.

"Peningkatan penarafan ini mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam profil operasi dan kewangan asas YTL Corp, disokong oleh prestasi kukuh merentasi pelaburan teras kumpulan," kata syarikat itu.

RAM Ratings berkata pulangan atas modal yang digunakan (ROCE) YTL Corp mengukuh kepada lapan hingga 10 peratus dalam tempoh dua tahun lepas daripada kira-kira lima peratus sebelumnya, disokong oleh pendapatan yang berdaya tahan merentasi segmen utiliti, simen, hospitaliti dan hartanah yang dikawal selia.

"Portfolio perniagaan kumpulan yang pelbagai, ditambah dengan kecairan dan fleksibiliti kewangan yang kukuh, terus menyediakan penampan kewangan yang besar," katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, RAM Ratings turut menaikkan penarafan jangka panjang program sukuk YTL Power International Bhd kepada AAA, dengan tinjauan stabil, manakala penarafan jangka pendek kekal pada P1.

Peningkatan itu mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam profil operasi dan kewangan YTL Power, dengan pulangan modal yang digunakan oleh kumpulan meningkat kepada kira-kira sembilan peratus dalam tempoh tiga tahun lepas daripada 3.6 peratus pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

"Penambahbaikan ini disokong oleh rekod prestasi baik YTL Power dalam perniagaan konsesi jangka panjang yang dikawal selia, terutamanya infrastruktur dan utiliti, serta kecairan dan fleksibiliti kewangannya yang kukuh, yang menyediakan penampan kewangan yang besar," katanya.

RAM Ratings berkata keuntungan operasi sebelum susut nilai, faedah dan cukai YTL Power meningkat tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun kepada RM6.5 bilion pada tahun kewangan 2024, dengan keuntungan sebelum cukai melebihi RM2 bilion setiap tahun.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan