EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERLU JADI NEGARA TEKNOLOGI, SELARASKAN MODAL, DASAR DAN INDUSTRI- LIEW

29/01/2026 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu mengubah pendekatan daripada menjadi negara perdagangan kepada negara berteraskan teknologi, menyelaraskan modal, dasar dan industri untuk memanfaatkan sepenuhnya keupayaan teknologi termaju sedia ada, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata penyelarasan antara dasar, kewangan dan industri adalah kritikal memandangkan lebih banyak pencapaian ekonomi boleh direalisasikan melalui penyelarasan yang baik.

“Kini adalah masa yang lebih baik untuk menyusun aspek teknologi. Kedudukan kita dalam keadaan (yang lebih baik) sekiranya kita boleh berbuat demikian," katanya semasa berucap pada perasmian Program BIG: Forum Inovasi Korporat anjuran Cradle Fund Sdn Bhd di sini hari ini.

Liew berkata Malaysia mempunyai keupayaan canggih dan kompleks dalam beberapa segmen ekosistem perindustriannya, terutama dalam semikonduktor dan peralatan berkaitan semikonduktor.

Bagaimanapun katanya industri ini sebahagian besarnya telah berkembang dengan memberikan perkhidmatan vertikal kepada syarikat multinasional.

Beliau berkata belum terdapat usaha yang bersepadu untuk menyelaraskan dan memperluas kerjasama antara industri atau syarikat pada tahap yang sama, dan keutamaan pada masa ini adalah perlu menghubungkan keupayaan yang lebih canggih merentasi pelbagai sektor.

Liew berkata industri termaju seperti semikonduktor perlu dihubungkan dengan sektor lain, termasuk peranti perubatan, peralatan kilang, pembangun dan pertahanan serta pertanian, dengan membawakan teknologi dan peralatan dalam industri ini.

Beliau berkata situasi global telah mewujudkan peluang untuk Malaysia menyusun keupayaan teknologinya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan