KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- KLCCP Stapled Group yang terdiri daripada KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT) mencatatkan keuntungan bersih yang tinggi kepada RM1.28 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 daripada RM1.02 bilion pada tahun sebelumnya.
Perolehan juga meningkat kepada rekod baharu iaitu kepada RM1.74 bilion daripada RM1.71 bilion sebelumnya.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata keuntungan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) iaitu sebanyak RM1.4 bilion yang mencerminkan prestasi kukuh berterusan serta dipacu oleh kualiti aset dan kestabilan operasi.
Ia berkata tahun kewangan 2025 menyaksikan segmen runcit mencapai PBT sebanyak RM450.9 juta, meningkat 2.8 peratus manakala jumlah pengunjung pula meningkat sebanyak sembilan peratus.
"Pertumbuhan ini mencerminkan usaha berterusan Suria KLCC dalam menyusun gabungan jenama utama dan pertama di pasaran yang dilengkapi dengan aktiviti yang imersif selain pengalaman yang direka untuk memberi kejutan serta menggembirakan.
"Suria KLCC juga membawa masuk 30 penyewa baharu sepanjang tahun termasuk lapan jenama yang pertama kali memasuki pasaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP Datuk Mohd Salem Kailany berkata keputusan kukuh kumpulan pada 2025 mencerminkan kekuatan portfolio yang pelbagai, aliran tunai yang stabil dan pengurusan modal yang berdisiplin.
Beliau berkata kumpulan itu mencatatkan prestasi rekod sekali lagi dengan perolehan, keuntungan dan dividen yang mencapai tahap tertinggi baharu.
"Sepanjang tahun ini, kami melaksanakan peningkatan aset yang disasarkan untuk mengekalkan daya saing dan untuk memastikan portfolio aset kami kekal relevan pada masa depan selain meningkatkan kecekapan jangka panjang.
"Peningkatan ini bersama dengan penambahbaikan sistem di seluruh kemudahan mengukuhkan prestasi aset kami, meningkatkan kebolehpercayaan operasi dan pengalaman pelanggan," kata Mohd Salem.
Secara keseluruhannya, usaha-usaha ini menyumbang kepada peningkatan penilaian hartanah dan memperkukuh nilai jangka panjang serta daya tahan aset mereka, tambahnya.
Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Dis, 2025, keuntungan bersih KLCCP meningkat kepada RM669.30 juta daripada RM430.91 juta tahun sebelumnya manakala perolehan naik kepada RM492.96 juta daripada RM459.10 juta sebelumnya.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, prestasi operasi suku tersebut yang lebih baik dipacu oleh peningkatan aktiviti perkhidmatan penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh KLCC Urusharta selain sumbangan konsisten daripada segmen runcit.
Keuntungan nilai saksama ke atas hartanah pelaburan turut menyumbang kepada peningkatan tersebut, katanya.
Ia juga berkata terdapat keuntungan nilai saksama yang ketara iaitu sebanyak RM460.1 juta yang diiktiraf sepanjang suku tahun berkenaan, mencerminkan peningkatan nilai pasaran terutamanya di Suria KLCC dan Menara Berkembar Petronas.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen sebanyak 19.1 sen bagi setiap sekuriti terikat untuk suku tahun tersebut, menjadikan jumlah dividen untuk tahun ini sebanyak 47 sen iaitu peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding 2024.
Mengenai prospek tahun ini, KLCCP berkata Malaysia memasuki 2026 dengan momentum ekonomi yang stabil dan pelancongan dijangka kekal sebagai penyumbang utama apabila negara bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia disokong oleh ketibaan antarabangsa yang tinggi melalui kemudahan visa dan inisiatif promosi yang lebih menyeluruh.
Dalam segmen runcit, Suria KLCC kekal berada dalam kedudukan yang baik untuk mengekalkan prestasi meskipun dalam landskap yang lebih kompetitif, katanya.
KLCCP menambah, bagi Mandarin Oriental Kuala Lumpur iaitu segmen hotelnya, kerja-kerja pengubahsuaian yang selesai pada 2025 mengukuhkan kedudukan pasaran hotel tersebut dengan penambahbaikan berperingkat yang dirancang untuk 2026 bagi meningkatkan lagi pengalaman tetamu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial