EKONOMI > BERITA

MOOREST YANG TERSENARAI DI SGX JALIN KERJASAMA DENGAN UNIT SIME DARBY BAGI TBB, LUAR PESISIR

03/02/2026 09:44 PM

SINGAPURA, 3 Feb (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tambatan, Mooreast Holdings Ltd (Mooreast Holdings) mengumumkan kerjasama dengan unit Sime Darby Bhd, Sime Darby Joy Industries Sdn Bhd, mengenai peluang perniagaan luar pesisir, termasuk tenaga boleh baharu (TBB). 

Dalam satu kenyataan, syarikat yang disenaraikan di Singapore Exchange Catalist itu berkata kerjasama tersebut adalah berdasarkan kertas terma ikatan indikatif yang tidak mengikat antara anak syarikatnya, Mooreast Asia Pte Ltd dan Sime Darby Joy Industries.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak merancang untuk meneroka, membangunkan dan mengambil peluang untuk menghasilkan produk untuk tenaga boleh baharu luar pesisir, sistem dan peralatan luar pesisir laut dalam, serta perkhidmatan berkaitan. 

Mooreast akan menyediakan sokongan teknikal, kepakaran kejuruteraan, serta komponen dan bahan mentah, manakala Sime Darby Joy Industries akan mengadakan fabrikasi rintis, termasuk penjadualan pengeluaran, perancangan tenaga kerja dan logistik. 

Syarikat itu berkata kerjasama itu terjalin di tengah-tengah peningkatan permintaan bagi pembuatan peralatan dan kejuruteraan yang boleh dipercayai bagi projek tenaga boleh baharu terapung di Malaysia dan rantau yang lebih meluas. 

Pengarah Eksekutif Mooreast Holdings Sim Koon Lam berkata cadangan kerjasama itu akan membolehkan kumpulan itu mengembangkan operasinya ke Malaysia. 

“Kami melihat prestasi yang kukuh dalam menggabungkan keupayaan masing-masing untuk merebut (peluang dalam) sektor tenaga boleh baharu luar pesisir di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan