EKONOMI > BERITA

PENGIRAAN DEFISIT FISKAL BERDASARKAN PIAWAIAN ANTARABANGSA - AMIR HAMZAH

04/02/2026 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Pengiraan defisit fiskal kerajaan tidak wajar dipersoalkan kerana pelaporan diguna pakai berdasarkan piawaian antarabangsa dan diterima pakai agensi penarafan kredit dan badan dunia.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaporan defisit adalah berdasarkan Manual Statistik Kewangan Kerajaan yang turut diguna pakai negara lain.

“Ketua Audit Negara juga mengeluarkan pendapat bahawa Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan memberikan gambaran benar dan saksama.

“Sistem perakaunan kewangan Kerajaan Persekutuan berlandaskan asas tunai bukanlah suatu yang asing,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata amalan kewangan berasaskan tunai menjadi standard di peringkat antarabangsa dan diguna pakai oleh negara maju serta 11 membangun seperti Singapura, India, Jerman, Belanda dan Norway.

Sebelum ini, Amir Hamzah berkata pembaharuan fiskal di bawah Kerajaan MADANI diperkukuh melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.

Selain itu, beliau berkata akta ini membina ketelusan fiskal serta menetapkan sasaran fiskal jangka sederhana yang jelas bagi memastikan kemampanan kewangan awam, mengekalkan kestabilan makroekonomi dan memelihara kesejahteraan rakyat.

“Komitmen ini terbukti melalui trend penurunan defisit fiskal secara berperingkat. Seperti saya jelaskan, ke arah sasaran tiga peratus menjelang 2028, kerajaan berjaya kurangkan defisit fiskal daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 3.8 peratus yang diyakini dapat dicapai untuk tahun 2025,” kata Amir Hamzah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan